AFP

Madrid: Barcelona kembali menyertai Real Madrid di puncak La Liga semalam apabila Luis Suarez (gambar) dan Neymar sekali lagi memanfaatkan ketiadaan Lionel Messi dengan satu gol masing-masing untuk menang 2-0 ke atas Getafe.

Madrid menang selesa 3-1 ke atas Las Palmas hasil jaringan Isco, Cristiano Ronaldo dan Jese Rodriguez.

Neymar dan Suarez kini mengumpul 14 jaringan terakhir Barca sejak Messi direhatkan akibat masalah ligament lutut lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, aksi Sergi Roberto buat Barca paling menyerlah apabila sepakan ke belakang memastikan Suarez menjaringkan gol pembukaan sebelum melakukan hantaran buat Neymar untuk meledak jaringan bagi menyempurnakan serangan balas mereka.

“Saya fikir kami bermain dengan pintar,” kata Suarez.

“Kami mengawal bola sepanjang pelawanan dan cuba mencari ruang yang boleh.”

Bekas pemain Liverpool itu bagaimanapun menafikan hubungannya dengan Neymar membuat mereka mudah melupakan ketiadaan Messi.

“Orang masih mengingatinya kerana dia pemain terbaik dunia.”

Dominasi Barca berbalas dengan gol pembukaan yang cantik apabila Roberto menolak hantaran Neymar tepat ke laluan Suarez dan pemain Uruguay itu tenang menyempurnakan gol ke-300 buat kelab dan negaranya.

Roberto turut menjadi nadi gol kedua sebelum sejam perlawanan apabila Bravo mengambil sepakan sudut dan melontar bola ke arah pemain tengah itu sebelum menghantarnya ke arah Neymar dan pemain Brazil itu meledak voli ke gawang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:07 AM