SHAHARUDDIN
SHAHARUDDIN

Kuala Lumpur: MyAngkasa Ni Hsin Sdn Bhd, anak syarikat kerjasama antara MyAngkasa Holdings Sdn Bhd (MyAngkasa) dan Ni Hsin Resources Berhad menjangkakan jualan kira-kira RM10 juta dalam tempoh setahun bagi produk pertama yang diperkenalkan iaitu perkakasan memasak berjenama Pentoli.

Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa, Shaharuddin Mohamed berkata, pihaknya positif untuk mencapai sasaran berkenaan kerana pihaknya tidak hanya memberi tumpuan kepada pasaran tempatan sebaliknya turut menjengah pasaran antarabangsa.

“Untuk pasaran tempatan, kami akan memasarkan produk ini melalui koperasi dan akan menawarkan skim menarik untuk ahli koperasi.

“Dalam masa sama, kami juga akan menembusi pasaran China menjelang Januari tahun depan serta akan menembusi pasaran Eropah menjelang suku kedua tahun ini,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dengan menawarkan produk berkenaan, ia dapat membantu koperasi di seluruh Malaysia menjana pendapatan hasil daripada penjualan set berkenaan di kalangan ahli masing-masing.

“Kami juga menyediakan pembiayaan mikro kepada ahli yang berminat untuk mendapatkan set ini atau berhasrat menjadi stokis bagi menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Ni Hsin Sdn Bhd, Datin Ida Suzaini berkata, set perkakasan memasak ini dihasilkan dengan tiga lapisan menjadikan ia berkualiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 6:34 AM