SKUAD negara memanaskan badan sebelum perlawanan di Stadium Perbandaran Dili.
SKUAD negara memanaskan badan sebelum perlawanan di Stadium Perbandaran Dili.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Harimau Malaya kembali ‘bernyawa’ selepas bangkit daripada aksi buruk pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan menewaskan Timor Leste 1-0 di Stadium Perbandaran Dili, semalam.

Dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan selepas hanya seri 1-1 dengan Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi pembukaan Kumpulan A sebelum kalah dalam aksi seterusnya Palestin 0-6, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 dan Arab Saudi 0-3, kemenangan di bawah kendalian jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee itu membuka semula peluang negara.

Tanpa kelibat kapten Safiq Rahim yang tidak dibenarkan beraksi pada saat akhir kerana digantung perlawanan oleh FIFA, tugas memimpin pasukan diserahkan kepada Amri Yahyah (gambar kecil) dan ternyata ia tidak mengecewakan apabila penyerang veteran itu menyumbat gol kemenangan pada minit ke-10.

“Ia tiga mata yang cukup berharga untuk menaikkan semula semangat pemain. Apa yang diharapkan kami dapat meneruskan rentak kemenangan ini.

“Harap Harimau Malaya akan terus bangkit untuk perlawanan akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Amri, 34, berjaya menggegar gawang dengan rembatan kaki kiri selepas mendapat umpanan pertahanan kiri Nazirul Naim Che Hashim yang bijak melakukan larian dari bahagian bawah.

Pada perlawanan itu, Kim Swee membuat empat pertukaran berbanding ketika menentang Arab Saudi termasuk menggunakan pemain Terengganu, Ismail Faruqi Ashari bagi menggantikan Safiq.

Menurut pengendali itu, beliau terpaksa membuat perubahan selepas dimaklumkan pada saat akhir perancang tengah itu tidak dibenarkan beraksi kerana digantung perlawanan susulan mengumpul kad kuning kedua ketika aksi dengan Arab Saudi.

“Kami dimaklumkan FIFA bahawa perlawanan dengan Arab Saudi ditangguhkan dan pemain Arab Saudi yang menerima kad kuning dibatalkan.

“Pada mesyuarat pegawai perlawanan pada sebelah petang kami dibenarkan menurunkan Safiq tapi pada sebelah malam mereka memberitahu Safiq tak dibenarkan bermain jadi saya terpaksa buat perubahan.

“Walaupun Safiq tidak bermain, kehadirannya di sini cukup penting dalam bilik persalinan kerana dia kapten yang berpengaruh,” jelas Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:14 AM