Kapten Malaysia Safiq Rahim bersalam bersama ketua pasukan Arab Saudi Osama Hawsaw sambil diperhatikan Van Marwijk (kiri sekali) dan Kim Swee. PIX Hasriyashah Sabudin
Kapten Malaysia Safiq Rahim bersalam bersama ketua pasukan Arab Saudi Osama Hawsaw sambil diperhatikan Van Marwijk (kiri sekali) dan Kim Swee. PIX Hasriyashah Sabudin
Oleh Aziman Rosdi


Kelana Jaya: Jurulatih Arab Saudi Bert van Marwijk tidak mahu memandang rendah keupayaan skuad Harimau Malaya dan bersedia menyekat kebangkitan pasukan tuan rumah bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam esok.

Bekas pengendali yang membimbing Belanda mara ke final Piala Dunia 2010 sebelum tewas 0-1 di tangan Sepanyol itu berkata, berdepan pasukan yang bermasalah seperti Malaysia bukan semudah yang disangkakan.

"Mungkin ramai yang fikir pertemuan dengan Malaysia esok mudah tapi saya fikir tidak. Saya fikir menentang pasukan yang baru dibelasah 10-0 dan kehilangan jurulatih bukan mudah.

"Ia perlawanan penting buat kami dan kami sudah membuat persediaan rapi kerana itu kami sudah tiba awal sejak Jumaat lalu," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Van Marwijk, 63, dari Belanda mengambil alih tugas membimbing pasukan Green Falcons daripada Faisal Al Baden awal bulan ini.

Arab Saudi yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas merekod dua kemenangan ke atas Palestin 3-2 dan Timor Leste 7-0, terikat enam mata dengan pendahulu Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun ketinggalan dari segi jaringan gol.

Sementara itu, jurulatih sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee yang mengambil alih tugas Dollah Salleh yang melepaskan jawatan selepas kekalahan memalukan 0-10 kepada UAE mengakui kehadiran van Marwijk membimbing Arab Saudi pasti menyulitkan cabaran mereka.

"Anda tidak boleh nafikan kecemerlangannya (van Marwijk) membimbing Belanda ke final Piala Dunia 2010, sudah pasti beliau lebih berpengalaman tapi itu tidak bermakna kami tidak boleh bersaing dengan mereka.

"Saya tidak memberi fokus kepadanya sebaliknya apa yang mustahak kami merancang strategi betul untuk bertemu dengan Arab Saudi esok," katanya.

Malaysia kini di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata selepas dua kekalahan teruk 0-6 kepada Palestin, (0-10) UAE dan seri 1-1 dengan Timor Leste.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 4:27 PM