PENJAGA Gol Malaysia, IzhamTarmizi (tengah) menangkis cubaan pemain UAE, Ali Ahmed Mabkhout (kiri) dan Ahmed Khalil (kanan). FOTO Osman Adnan
PENJAGA Gol Malaysia, IzhamTarmizi (tengah) menangkis cubaan pemain UAE, Ali Ahmed Mabkhout (kiri) dan Ahmed Khalil (kanan). FOTO Osman Adnan
Oleh Aziman Rosdi


Shah Alam: Skuad Harimau Malaya mengetepikan status pasukan belasahan apabila sekadar tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 meskipun beraksi tanpa penyokong di Stadium Shah Alam, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia yang sebelum ini diaibkan 0-10 oleh UAE di Abu Dhabi pada 3 September lalu berkemungkinan terpaksa mengharungi perlawanan play off untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 sementara peluang untuk bersaing di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 sudah lama berkubur.

Meskipun lebih banyak bertahan, Harimau Malaya juga menguji kubu UAE menerusi gerakan Azammuddin Akil di sebelah kiri namun Ahmad Fakri Saarani gagal menyudahkan peluang itu apabila bola sepakannya melepasi palang pada minit ke-16.

Skuad The Whites yang terdesak untuk mencari tiga mata untuk menghambat pendahulu kumpulan Arab Saudi berada di depan di minit ke-21 selepas pemain perancang Omar Abdul Rahman merampas bola daripada Azammuddin sebelum melencongkan bola ke penjuru gawang menewaskan Izham Tarmizi Roslan.

Bersambung babak kedua pasukan pelawat yang kini menduduki ranking ke-67 dunia itu menjarakkan kedudukan 2-0 hasil sepakan penyerang Ahmed Khalil apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid di minit ke-52.

Baddrol Bakhtiar merapatkan kedudukan pada minit ke-58 apabila menanduk masuk bola sepakan percuma kapten, Safiq Rahim.

Selepas tujuh perlawanan Malaysia kekal di tangga keempat kumpulan dengan empat mata, manakala UAE di tangga kedua selepas mengumpul 13 mata dalam enam perlawanan.

Harimau Malaya akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi bagi aksi terakhir pada Mac 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 10:55 PM