SKUAD negara tekad berjuang bermati-matian berdepan UAE.
SKUAD negara tekad berjuang bermati-matian berdepan UAE.
Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Mampukah Harimau Malaya mencipta keajaiban atau sekali lagi menjadi mangsa belasahan Emiriah Arab Bersatu (UAE)?

Itu yang menjadi persoalan apabila skuad kendalian jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee melayan kunjungan pasukan handalan dari Asia Barat itu bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi peminat tempatan, agak sukar untuk mereka mengharapkan sesuatu luar biasa dilakukan skuad negara selepas janji palsu ditaburkan sebelum ini.

Kalah buat kali kedua 0-6 kepada Palestin di Amman Jordan Khamis lalu keputusan cukup mengecewakan ketika anak buah Kim Swee mempersiapkan diri berdepan UAE yang mengaibkan mereka 0-10 di Abu Dhabi pada 3 September.

Bagi kapten Harimau Malaya Safiq Rahim, dia berharap mereka dapat mengelak episod hitam berulang sekali gus menamatkan aksi terakhir tahun ini dengan nada positif.

“Kita akan bermain di tempat sendiri. Ini rumah kita jadi saya berharap tidak akan dibelenggu dengan keputusan seperti sebelum ini.

“Saya percaya semua pemain mahukan perlawanan terakhir ini sebagai yang terbaik,” katanya semalam.

Keputusan seri dengan UAE boleh dianggap baik buat Harimau Malaya jika mengambil kira prestasi semasa. Malah sebarang mata diraih boleh membuka peluang mereka mencuri slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 atau beraksi pada play-off.

Bagaimanapun anak Kim Swee bakal beraksi sendirian tanpa sokongan penonton selepas hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kekecohan Ultras Malaya pada aksi menentang Arab Saudi pada 8 September lalu.

“Memang ada sedikit kekurangan beraksi tanpa penyokong tapi perjuangan harus diteruskan dan saya harap semangat semua pemain tidak luntur,” kata Safiq.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 9:08 AM