AMIRA
AMIRA
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Single Hati-Hati dendangan penyanyi Amira Othman, 22, kini semakin mendapat tempat di stesen radio selain muzik videonya kini boleh ditonton di YouTube.

Ia juga buah tangan terbaru bekas peserta Akademi Fantasia 2013 (AF2013) untuk mencuba nasib sebagai penyanyi solo selepas single pertama Sesaat Untukmu kurang mendapat sambutan.

“Lagu itu agak berat untuk pendengar. Jadi mungkin antara sebab ia kurang mendapat sambutan.

“Alhamdulillah, selepas saya muncul bersama kumpulan The Lomas dan mula dikenali dengan lagu nyanyian semula Bila Larut Malam, rezeki untuk kukuhkan nama dalam industri muzik semakin bertambah,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila melihat rakan-rakannya dalam AF seperti Faizul, Azhael dan Indah Ruhaila lebih dikenali dalam industri muzik, Amira ada jawapannya sendiri.

Katanya, apabila melihat mereka berjaya, itu turut menjadi motivasi untuk Amira bekerja lebih keras.

“Sebagai penyanyi baru, saya memang menyimpan cita-cita untuk melangkah lebih jauh.

“Saya memang bangga dengan pencapaian mereka. Ketika Indah berjaya ke pentas Anugerah Juara Lagu, saya juga gemuruh apabila melihatnya di atas pentas,” katanya.

Amira berkata, lagu Hati-Hati adalah genre berbeza berbanding balada yang lebih diminatinya.

“Kalau diikutkan, minat saya lebih kepada muzik balada, tetapi selepas Sesaat Untukku kurang mendapat sambutan, saya rasa perlu ada formula baru untuk mencuri tumpuan pendengar,” katanya.

Hati-Hati adalah lagu ciptaan Faizul, Hael Azhael dan Mike Chen manakala liriknya karya Faizul.

“Pertama kali mendengar lagu itu daripada Hael, saya terus tertarik dengan melodinya dan selepas itu mencadangkan supaya dia dan Faizul menyiapkan lagu itu,” katanya.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap industri muzik tanah air, Amira melihat masyarakat kini lebih gemarkan lagu yang mudah didengar serta ringan.

“Walaupun didengar seperti ringan, sebenarnya untuk melantunkan mengikut melodinya memang mencabar,” katanya yang juga pengacara program Nasik Lemak Kopi O.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:39 AM