AMIRA tidak mahu cemar imej berhijab dibawanya.
AMIRA tidak mahu cemar imej berhijab dibawanya.
Najiy Jefri


Artis dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Dunia hiburan baik di tanah air mahupun di luar negara tidak pernah sunyi daripada cerita panas yang kadangkala menyesakkan nafas.

Sejak dulu, ada saja gosip liar atau gambar artis yang ‘ditelanjangkan’ segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Setiap perbuatan itu hanya pemilik badan yang tahu.

Namun, ada juga selebriti yang bersih daripada kontroversi. Malangnya, kehadiran mereka dilihat sepi dan berada pada satu tahap yang sama saja.

Bagi penyanyi lagu Hati Hati, Amira Othman mengakui ketiadaan ‘cerita panas’ yang terpalit dalam kerjayanya membuat­kan nama Amira tidak sepopular lagunya.

Kata Amira, dia tidak pernah begantung harap kontroversi sebagai landasan menaikkan namanya, malah tidak juga menafikan perkara itu boleh menjadikan peminat lebih mengenali dirinya.

Namun, bagi pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman, dia sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam dunia hiburan kerana ibu bapanya sentiasa mengawasi setiap tindak-tanduknya.

Katanya, dia terbuka dikait­kan dengan sebarang gosip selagi ia tidak menjatuhkan maruah diri dan keluarga.

“Ramai memberitahu apabila diri bersih daripada kontroversi nama akan lambat panas, tapi apa yang saya mampu buat, benda seperti itu bukan boleh dirancang.

“Lagipun, saya mempunyai ibu bapa yang sentiasa memerhati perjalanan seni, jadi memang tiada ruang untuk hal-hal merepek dalam kehidupan saya.

“Sebenarnya saya okey kalau ada kontroversi seperti dikait bercinta atau berkenaan teman lelaki selagi ia tidak keterlaluan,” katanya sambil ketawa.

Kata Amira, bagaimanapun, dia tidak mahu namanya terpalit kontroversi keterlaluan kerana tidak mahu mencemarkan imej berhijab yang dibawanya.

“Selalunya wanita berhijab yang terpalit kontroversi menerima kecaman berganda. Jadi biarlah nama kurang dikenali asalkan lagu saya terus mendapat permintaan dan diminati.

“Saya percaya dengan aturan yang sudah ditentukan. Saya selalu berdoa agar jalan sentiasa dipermudahkan dalam bidang seni ini,” katanya.

Amira vs Nabila

Beralih mengenai usikan segelintir pihak yang membandingkan popularitinya dengan penyanyi lagu yang mencatat lebih 18 juta tontonan di YouTube, Pematah Hati, Nabila Razali, dia bersikap terbuka dalam hal itu.

Kata Amira, sebagai rakan seperjuangan, dia tidak pernah cemburu dengan kejayaannya, malah berbangga dengan Nabila dan menyifatkan ia rezeki gadis terbabit.

“Jujur, saya tiada masalah dengannya. Kami sama-sama berjuang untuk memilih lagu dan sampai pada tahap ini. Dia memang layak kerana usaha kerasnya yang tidak pernah putus.

“Dia kawan baik saya. Buat apa saya mahu iri hati andai sudah tertulis itu rezeki yang Allah SWT rencanakan buatnya.

“Kami sebenarnya saling berkomunikasi dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terkini dirinya, Amira kini muncul dengan single terbaru berjudul Mimpi Indah.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan diterbitkan Edry Abdul Halim itu, katanya mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dua single terdahulu, Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

“Genrenya bagaimanapun tetap lebih kurang sama kerana kami mahu mengekalkan konsep Hati-Hati dan Jaga-Jaga. Namun, kami memperlahankan sedikit tempoh Mimpi Indah, ala-ala lagu dodoi dan atas sebab itu jugalah, saya memilih judul Mimpi Indah,” katanya.

Kisah Cinta

Pernah berkawan rapat dengan bekas ahli kumpulan Azhael, Azhar Osman, Amira akui sudah lama hidup sendiri.

Kata wanita berusia 25 tahun ini, dia tidak pernah menolak soal jodoh. Jika sudah tiba masanya, katanya, tiada alasan untuk dia mengetepikan takdir yang sudah ditentukan.

Menurutnya, dia sebenarnya sudah mempunyai perancangan sendiri mengenai masa depan untuk membina kehidupan berumah tangga suatu hari nanti.

Biarpun bergelumang dalam industri hiburan tanah air, kata Amira, jika boleh dia mahukan jejaka yang bukan dalam lapangan seni sama.

“Kalau boleh, saya mahu elakkan orang yang sama dalam industri seni tanah air. Bukan apa, walaupun faham cara kerjanya, saya ini kadangkala terlalu cemburu .

“Bagaimanapun, kalau sudah tertulis jodoh dengan insan seni saya tetap reda. Orang kata, apa yang kita tidak mahu itulah yang kita akan dapat nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:41 AM