ENJIN empat silinder yang mantap.
ENJIN empat silinder yang mantap.
BAHAGIAN hadapan bergaya.
BAHAGIAN hadapan bergaya.
METER kelajuan yang ringkas.
METER kelajuan yang ringkas.
SUZUKI GSR 750.
SUZUKI GSR 750.

Imej dan bentuk yang garang bagi kategori motosikal naked menerusi Suzuki GSR 750 menjadi kekuatan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd dalam memperjuangkan pasaran jentera dua roda berkuasa tinggi di negara ini.

Motosikal yang dilancarkan penghujung tahun lalu itu, memberi nafas baru kepada jenama itu dalam dunia jentera dua roda berkuasa tinggi.

Bagi model Suzuki GSR 750, ia kategori motosikal golongan pertengahan dengan kombinasi reka bentuk moden dan futuristik, selain digabungkan gaya tunggangan menyeronokkan.

Ia tampil garang dan agresif yang menerapkan rekaan lebih teliti serta kemas dengan bentuk tangki bahan api isian 17.5 liter tampak berani. Perumah lampu depan besar menggunakan mentol halogen 60/55W, sekali gus mampu memberi pencahayaan lebih terang ketika malam.

Selain itu, pencahayaan meter kelajuannya yang boleh dilaras tampak lebih unik dengan bacaan kelajuan digital LCD dan memaparkan purata kelajuan, tahap penggunaan bahan api, gear, jarak perjalanan serta jam.

Gaya pengendaliannya yang terbaik dengan padanan sepit udang (fork) depan jenama KYB, manakala suspensi belakang kategori link dengan penyerap hentak tunggal boleh dilaras tujuh peringkat.

Biarpun ramai menganggap motosikal segmen ‘naked’ tidak sesuai untuk tunggangan jarak jauh, ia adalah tanggapan salah selepas penulis menguji jentera berkenaan dengan perjalanan lebih 1,000 kilometer (km), baru-baru ini.

Motosikal itu ternyata memberi kepuasan dengan gaya tunggangan dalam kelajuan purata 150km sejam. Tiada lenguh atau penat sepanjang perjalanan, malah rasa teruja dan selesa apabila tidak perlu memberi terlalu fokus berbanding menunggang secara agresif pada kelajuan tinggi.

Malah, ia juga memberi pengendalian terbaik untuk melalui celah-celah kenderaan kerana bentuknya yang sedikit langsing dan mudah ditunggang.

Gaya pengendaliannya boleh dianggap paling mudah biarpun penulis tidak biasa menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Berbekal enjin 750 cc dengan empat silinder suntikan bahan api, penyampaian torknya cukup baik. Hanya sedikit memulas pendikitnya, kuasa yang dibekalkan sangat luar biasa.

Sepanjang menunggangnya, boleh dikatakan penulis hanya menggunakan gear enam tanpa perlu menukar lebih rendah untuk memecut pada kelajuan maksimum selepas kuasa yang sangat responsif.

Tahap penggunaan bahan apinya tidaklah terlalu ‘mewah’, ini kerana penulis hanya mengisi minyak kurang RM110 untuk perjalanan lebih 1,000 kilometer.

Penjimatan itu berpunca daripada teknologi pendikit badan dengan sistem Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang menyumbang kepada kecekapan pembakaran bahan api.

Enjin itu juga memenuhi piawaian emisi terkini, manakala sistem ‘Suzuki Pulsed Secondary AIR-Injection’ (PAIR) menyuntik udara segar ke dalam ekzos untuk bertindak balas dengan hidro karbon yang tidak terbakar bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

Kuasa hentiannya cukup mantap selepas menggunakan sistem brek depan berkembar bersaiz 310 milimeter (mm) dengan kombinasi bahagian belakang dipadankan brek tunggal 240mm.

Ia juga dibantu dengan Sistem Brek Antikunci untuk mengawal kelajuan dan menyesuaikan daya brek diperlukan, sekali gus memberi keyakinan ketika kelajuan tinggi.

Dengan harga asas sekitar bermula RM53,888, motosikal itu pasti menjadi perhatian mereka yang ingin beralih kepada jentera dua roda yang mahu mencari motosikal berkuasa tinggi bagi kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:06 AM