AFP

San Sebastian, Sepanyol: Bekas pengurus Manchester United, David Moyes (gambar) mendedahkan beliau menolak beberapa tawaran kelab Inggeris sebelum memilih untuk menyahut cabaran kelab liga Sepanyol, Real Sociedad.

Pada majlis pengenalan rasminya, jurulatih berusia 51 tahun dari Scotland itu berkata, beliau kini berharap mengubah nasib kelab Basque itu seperti dilakukannya ketika bersama Everton dalam Liga Perdana sebelum tempoh sembilan bulan yang mengecewakan di United.

Moyes berkata, beliau tidak pernah ragu menyertai Sociedad dengan melihatnya sebagai cabaran terbesar dalam kariernya.

“Saya terima beberapa tawaran untuk kembali ke Liga Perdana. Saya bercakap dengan beberapa kelab di negara yang berbeza,” katanya menolak untuk menamakan kelab itu.

“Namun satu-satunya tempat terpahat di sanubari dan berasa ia kelab yang tepat adalah Sociedad.”

Kini beliau akan berdepan kelab gergasi Real Madrid dan Barcelona dengan tanpa keraguan beliau berkata ‘liga terbaik di dunia.’

“La Liga mempunyai sejumlah pemain dan jurulatih terbaik. Saya mahu menguji diri sendiri menentang yang terbaik.”

Sociedad memecat jurulatih Jagoba Arrasate bulan ini selepas sekadar meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan awal liga.

Namun mereka bangkit menewaskan juara bertahan Atletico Madrid 2-1 Ahad lalu bagi membolehkan mereka terkeluar daripada zon penyingkiran.

Moyes bangga dengan apa yang dipamerkan pemain Sociedad sejak ketibaannya di San Sebastian Rabu lalu dan berazam untuk membantu mereka meningkat.

“Saya berbincang dengan mereka. Saya gembira dengan kerja keras, mahu cabaran untuk membawa kelab ke kedudukan teratas liga. Saya tidak miliki sebarang masalah untuk melaksanakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:06 AM