PESAWAT TUDM. FOTO fail NSTP Farizul Hafiz Awang
PESAWAT TUDM. FOTO fail NSTP Farizul Hafiz Awang
Oleh Siraj Mohd Zaini


Kuala Lumpur : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan Eksesais Paradise 2/2015 yang membabitkan ruang udara Sabah serta perairan sekitarnya bermula hari ini sehingga 22 November depan.

Jurucakap TUDM berkata, sepanjang latihan yang berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan itu diadakan, pesawat terbabit akan melakukan penerbangan rendah pada siang dan malam di beberapa kawasan sekitar ruang udara Sabah yang digazetkan sebagai lokasi latihan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan panik sekiranya melihat pesawat TUDM terbang rendah sepanjang tempoh latihan berkenaan.

"Latihan ini diadakan oleh TUDM bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, antara pesawat TUDM yang terbabit dalam latihan berkenaan adalah Pesawat F/A-18D, Pesawat Pejuang Su-3MKM dan Hawk 108/208, Pesawat Pengangkut C130H dan KC130, Helikopter EC725 dan Nuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 12:49 PM