UNIT berkembar tiga tingkat dengan keluasan 5,200 kaki persegi.
UNIT berkembar tiga tingkat dengan keluasan 5,200 kaki persegi.

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan jualan 10 unit rumah berkembar dan sembilan unit banglo menerusi projek terbaru Hijauan Enklaf, antara unit perumahan Alam Nusantara.

Pengurus Pemasarannya, Mohd Wazir Abdul Ghani berkata, unit rumah berkembar tiga tingkat dibina pada keluasan 5,200 kaki persegi dan didatangkan melalui empat pilihan rekaan manakala unit banglo tiga tingkat itu dibina di kawasan seluas 6,229 serta 7,528 kaki persegi.

“Pembelian unit kediaman ini memiliki status tanah pegangan bebas,” katanya.

Hijauan Enklaf adalah siri penambahan terbaru kepada landskap Alam Nusantara yang memberi kelebihan bandar ini yang menggabungkan keselesaan moden dan ketenangan di pinggir bandar.

Harga rumah banglo tiga tingkat bermula dari RM3.58 juta (Bumiputera) manakala rumah semi-D berharga dari RM2.97 juta seunit.

Ia terletak di lokasi strategik dan berdekatan dengan pelbagai kemudahanserta memiliki akses kepada lebuhraya utama seperti Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh raya Persekutuan dan Lebuhraya Selat Klang.

Hijauan Enklaf terletak berhampiran pusat komersial Shah Alam dengan jarak pemanduan kereta hanya 15 minit dan Kuala Lumpur (20 minit).

Beliau berkata, siri Hijauan Enklaf itu menawarkan tarikan tersendiri kepada bakal pembeli di mana ia memiliki rekaan kontemporari moden dan ditambah dengan penggunaan material premium dalam pembinaannya.

“Untuk setiap unit Hijauan Enklaf, ia dilengkapi lif peribadi dan lif barang bertujuan memudahkan akses golongan berusia serta proses mengangkat barang dari satu tingkat ke satu tingkat,” katanya sambil menambah, maklumat lanjut boleh melayari www.pkns-property.com.

Mohd Wazir berkata, ia perlu dipertimbangkan untuk mereka yang ingin membeli hartanah di Lembah Klang untuk didiami atau sebagai pelaburan.

“Kami menawarkan khidmat guaman percuma bagi perjanjian jual beli dan mereka yang berminat boleh mengadakan temu janji untuk melihat unit ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:05 AM