RUANG tamu rumah contoh Hundred East.
RUANG tamu rumah contoh Hundred East.
Oleh Mohd Amin Jalil

SEJAK dilancarkan Disember tahun lalu, projek perumahan teres dua tingkat Hundred East yang dibangunkan TH Properties Sdn Bhd (THP) mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Berkonsepkan moden kontemporari, kediaman yang dibina di tengah-tengah persekitaran hijau di Bandar Enstek itu pastinya menjadi pilihan pembeli untuk kediaman sendiri atau pelaburan jangka panjang berikutan harganya yang kompetitif, selain keluasan serta keunikan binaannya.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualan TH Properties, Mohd Adlee Yusof berkata, 100 unit rumah teres dua tingkat akan dibina dalam dua fasa iaitu fasa pertama mengandungi 48 unit dengan tiga variasi reka bentuk dan dijangka siap pada November 2016.

“Bagi rumah bersaiz 26’ x 80’ dengan keluasan binaannya 2,382 kaki persegi hingga 2,420 kaki persegi dan keluasan tanah antara 2,080 kaki persegi hingga 5,232 kaki persegi, harga yang ditawarkan bermula RM623,400.

“Perumahan Hundred East ini pasti memberi kepuasan kepada pembeli dan pelabur bukan saja dari segi keluasan binaan dan harganya, malah lokasi pembinaannya di kawasan yang strategik serta pesat membangun.

“Pembeli mendapat akses mudah ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Maju dan Lebuhraya Lingkaran tengah (ELITE) serta lokasinya kira-kira 17 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang yang menjadi daya penarik Bandar Enstek,” katanya.

Mohd Adlee berkata, satu lagi produk kediaman di Bandar Enstek adalah Pearl yang menawarkan 28 unit rumah berkembar dua tingkat dan tujuh banglo dua tingkat yang sudah siap dibina.

“Semua unit banglo sudah habis dijual manakala rumah berkembar berharga RM946,500 ke atas berbaki 12 unit.

“Ia mempunyai keluasan tanah 40’ x 100’ dan 50’ x 100’ dengan kawasan binaan 3,347 kaki persegi dan 3,500 kaki persegi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Adlee berkata, Bandar Enstek adalah perbandaran lengkap berkeluasan kira-kira 2,071 hektar yang menawarkan pembangunan pegangan bebas terdiri daripada kediaman, perdagangan, institusi pengajian dan industri.

“Beberapa projek bakal dilancarkan tahun ini di Bandar Enstek termasuk 52 unit Hundred East (Fasa 2), lima unit banglo dua tingkat premium, 21 unit kedai pejabat dua dan tiga tingkat, 20 unit banglo dan 12 rumah berkembar dua tingkat.

“Bandar ini hanya 18 kilometer dari pusat beli-belah getaway@klia2 dan 35 kilometer dari pusat beli- belah terbesar IOI di Asia Tenggara, iOiCity Mall di Putrajaya,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan pelancaran boleh hubungi pejabat jualan di 06-798 9777 atau layari laman web di http: www.th-properties.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:27 AM