PERTUMBUHAN rambut bayi dipengaruhi faktor genetik dan keturunan.
PERTUMBUHAN rambut bayi dipengaruhi faktor genetik dan keturunan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua bayi dilahirkan dengan keadaan rambut hitam dan lebat kerana kadar pertumbuhan rambut terutama ketika bayi berada dalam kandungan berbeza.

Bagi masyarakat Melayu, kebiasaannya rambut bayi dicukur selepas dilahirkan bagi memastikan rambut baru yang tumbuh itu lebih lebat dan sihat.

Namun, terdapat juga bayi yang masih tidak tumbuh rambut walaupun selepas dicukur berbulan-bulan dan ia mungkin mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa.

Setiap ibu bapa mungkin melakukan pelbagai usaha supaya rambut si kecil tersayang tumbuh dengan lebat dan sihat selepas dicukur. Hakikatnya, ketebalan rambut seseorang bayi itu amat dipengaruhi faktor genetik atau keturunannya.

Kaedah mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan memiliki pelbagai manfaat, terutama untuk kesihatan kulit kepala. Ini disebabkan terdapat ba­nyak kerak kotoran yang ada di kepala ketika bayi berada dalam kandungan.

Namun, perlu diketahui faktor genetik memainkan peranan paling utama dalam pertumbuhan rambut si kecil. Selain genetik dan keturunan, faktor pemakanan juga mempengaruhi kadar pertumbuhan rambut bayi.

Pastikan si kecil tersayang terutama yang sudah mula makan, menerima zat seimbang bagi memastikan rambutnya mampu tumbuh dengan sihat.

Antara keperluan zat termasuk:

Protein seperti telur, ikan, daging, susu dan kekacang.

Omega-3 seperti ikan salmon, kacang kenari dan minyak ikan.

Zat besi seperti bayam, kacang merah, tomato dan kentang memiliki kandungan zat besi yang banyak.

Vitamin kaya dalam buah-buahan, sayuran, kacang hijau dan gandum.

Namun sekiranya bayi anda masih di bawah usia enam bulan, si ibu seharusnya perlu mengambil pemakanan seimbang bagi memastikan anak menerima khasiat diperlukan bagi membantu proses pertumbuhan rambutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:21 AM