Ramli (tengah) menunjukkan rokok putih yang dirampas. FOTO Rudy Fazrunisyam Samarudin
Ramli (tengah) menunjukkan rokok putih yang dirampas. FOTO Rudy Fazrunisyam Samarudin
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin

Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan cubaan menyeludup masuk rokok putih melalui dua pelabuhan di negeri ini membabitkan nilai dan cukai berjumlah RM13.55 juta bulan lalu.

Pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang membawa kepada rampasan 10.5 juta batang rokok bernilai RM840,000 dan cukai serta duti ditaksirkan RM6 juta.

Pada 30 Oktober, pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas berjaya merampas 10.89 juta batang rokok bernilai RM544, 000 membabitkan cukai serta duti yang ditaksirkan sebanyak RM6.1 juta.

Pengarah Kastam Negeri Johor Datuk Ramli Johari berkata, dua ejen perkapalan berusia 20-an dan 40-an warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua kontena dibawa masuk dari pelabuhan terakhir di negara jiran itu dan memalsukan ikrar ketika pemeriksaan dilakukan.

"Siasatan mendapati semua rokok putih berkenaan adalah buatan Thailand dan China untuk pasaran tempatan.

"Ini adalah rampasan terbesar ke atas penyeludupan masuk rokok yang berjaya dipatahkan Kastam Negeri Johor sepanjang tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 2:05 PM