ROKOK putih seludup yang berjaya dirampas JKDM. FOTO Ihsan JKDM
ROKOK putih seludup yang berjaya dirampas JKDM. FOTO Ihsan JKDM
Erika George

Bintulu: Cubaan menyeludup masuk 7,920,000 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM5.36 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah kawasan pelabuhan, di sini, 14 Mac lalu.

Pengarah Kastam Sarawak Mohd Nadzri Ariffin dalam kenyataannya hari ini berkata, atas maklumat serta risikan dijalankan, sepasukan anggota penguatkuasaan JKDM Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kapal asing yang berlabuh di pelabuhan itu pada jam 7.45 malam.

"Pemeriksaan ke atas kontena terbabit yang tiba dari China melalui pemindahan dari Vietnam menemukan sejumlah rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam," katanya.

Menurutnya, hasil penggeledahan mendapati kontena terbabit mengandungi 7,920,000 batang rokok putih bernilai RM1.4 juta yang membabitkan anggaran cukai sebanyak RM5.36 juta.

Katanya, hasil semakan awal mendapati kesemua rokok putih terbabit belum lulus kastam kerana tidak mempunyai setem cukai kastam serta dokumen yang sah.

Beliau berkata, pihaknya percaya modus operandi yang digunakan sindiket penyeludupan itu ialah membawa masuk barangan belum lulus kastam ini dengan membuat pengikraran palsu melalui Daftar Muatan Pemindahan dari Pelabuhan Ho Chi Minh, Vietnam ke Pelabuhan Bintulu, Sarawak.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika disabit salah, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar serta tidak melebihi 20 kali ganda nilai jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar," katanya.

Menurutnya, suspek dalam masa sama juga berhadapan dengan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan serta tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 2:42 PM