DANIYAL hasilkan buku Membedah P Ramlee.
DANIYAL hasilkan buku Membedah P Ramlee.
MAMAT bersama peserta Majlis Diskusi.
MAMAT bersama peserta Majlis Diskusi.
Oleh Rosman Shamsudin

Usaha mencungkil bakat seni dalam kalangan anak muda giat dijalankan pusat komuniti Sarang yang diusahakan penerbit dan pengarah filem terkenal, Mamat Khalid di Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Terbaru, Sarang memberi peluang kepada penulis muda kelahiran Kuala Kangsar, Perak iaitu Daniyal Kadir, 31, memperkenalkan buku sulung tulisannya berjudul Membedah P Ramlee menerusi Majlis Diskusi bersama pengkritik filem dan dan penggiat seni tempatan.

Majlis yang menampilkan pengkritik filem Hasan Mutalib selaku pengerusi serta panel yang terdiri daripada Profesor Datuk Dr Isahak Haron; pengarah dan pelakon Ahmad Fauzee dan Daniyal untuk mengupas buku berkenaan.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Rusnah Kassim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Mamat Khalid.

Daniyal berkata, ‘membedah’ bermaksud mengkaji dan mendalami filem diarah dan dilakonkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta menghasilkan penulisan untuk dikongsi bersama peminat seniman agung itu berdasarkan 15 filem yang dihasilkan di Studio Jalan Ampas, Singapura bermula dari Penarek Becha hingga Tiga Abdul.

Menurutnya, filem yang dihasilkan bersama Malay Film Production (MFP) di Studio Jalan Ampas mempunyai nilai pemikiran yang lebih tajam dengan kritikan lebih hebat dalam industri perfileman ketika itu.

Buku berkenaan dihasilkan hasil pengalamannya menonton 15 filem berkenaan dan sebelum ini ia hanya dikongsi di Facebook.

Dari situ Daniyal disarankan rakannya membukukan tulisan itu untuk dikongsi semua peminat P Ramlee.

“Sehingga hari ini kita masih menonton filem P Ramlee tanpa jemu. Hasil kajian saya juga mendapati filem yang diarah serta dilakonkan P Ramlee tidak perlu disampaikan melalui dialog, tetapi cukup melalui kesan visual terutama dalam filem Tiga Abdul.

“Melalui buku ini saya juga mahu mengajak peminat P Ramlee melihat apakah setiap filem beliau mempunyai maksud atau hanya sekadar hiburan ringan,”katanya.

Sementara itu, Mamat berkata, usaha Daniyal wajar dicontohi golongan muda lain untuk tampil mengetengahkan bakat mereka terutama dalam bidang penulisan.

Katanya, salah satu tujuan penubuhan Sarang ialah untuk mencungkil dan mempamerkan bakat anak muda dalam bidang seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 7:34 AM