Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses mempertimbangkan langkah pelupusan aset di Reading International Business Park, London, United Kingdom.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, setakat ini tiada pengumuman rasmi dilakukan, namun terdapat beberapa pelabur berpotensi menunjukkan minat terhadap hartanah berkenaan dan aset lain di United Kingdom.

Hartanah mewah berkenaan dianggarkan bernilai £150 juta (RM958.90 juta).

“Kami sedang mempertimbang untuk melupuskan aset di Reading International Business Park. Kami juga belum membuat sebarang pengumuman mengenai langkah itu buat masa ini.

“Kami akan mempertimbang tawaran terbaik untuk hartanah di Reading International Business Park yang merangkumi pelbagai aspek termasuk harga dan masa yang tepat juga perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya selepas sidang media Persidangan Ekuiti Persendirian Antarabangsa 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pelaburan KWSP, Mohamad Nasir Ab Latif dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Pasaran Persendirian KWSP, Mohamad Hafiz Kassim.

Setakat Disember 2014, KWSP memiliki sejumlah 55 hartanah dan projek hartanah di luar negara termasuk 28 daripadanya di United Kingdom yang mewakili 26 peratus daripada keseluruhan aset yang dimilikinya.

Mengenai dividen 2015, Shahril Ridza berkata, tahun ini adalah tahun yang sukar diramal ekoran prestasi ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, katanya, KWSP menjangkakan kadar dividen adalah 2.5 peratus campur kadar inflasi tahun ini.

“Separuh pertama tahun ini, ekonomi berkembang dengan baik, namun pada separuh kedua agak merosot sejajar dengan prestasi di Bursa Malaysia yang kurang memberangsangkan,” katanya.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan agihan dividen pada kadar 6.7 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 6:28 AM