KWSP mengesahkan pembelian hartanah logistik di Shirebrook, United Kingdom. FOTO Saddam Yusoff
KWSP mengesahkan pembelian hartanah logistik di Shirebrook, United Kingdom. FOTO Saddam Yusoff
Sri Ayu Kartika Amri


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan pembelian hartanah logistik di Shirebrook, United Kingdom, berjumlah GBP120 juta (RM640 juta).

Dalam kenyataan dikeluarkan, KWSP berkata, buat masa ini aset berkenaan diduduki oleh Sports Direct International Plc dan akan terus disewakan kepadanya untuk jangka masa panjang.

“Pelaburan ini memberi peluang kepada KWSP untuk menjana aliran pendapatan mengikut profil risiko pulangan KWSP.

“Selari dengan polisi pelaburan KWSP, usaha wajar yang menyeluruh serta tadbir urus yang kukuh telah dilaksanakan bagi menyempurnakan pembelian aset logistik ini.

“Pelaburan ini melengkapi dan menjadi sebahagian daripada portfolio pelaburan hartanah KWSP di UK,” katanya.

Sebelum ini, KWSP dilaporkan membeli bangunan ibu pejabat Sports Direct International di United Kingdom.

Menurut laporan akhbar Sunday Times, sebaik urus niaga itu selesai, Sports Direct akan membuat pajakan 15 tahun ke atas hartanah terbabit, sebuah kompleks gudang terletak di Shirebrook, Darbyshire dan terus mengendalikannya sebagai pusat pengedaran, pejabat dan perniagaan runcit.

Sports Direct dilaporkan ‘amat berminat’ untuk menjual tapak berkenaan pada ketika permintaan kukuh bagi hartanah perindustrian.

KWSP sebelum ini pernah mengendalikan urus niaga hartanah perindustrian dan peruncitan di Britain.

Pada 17 Mei lalu, Sports Direct, yang dimiliki oleh hartawan Mike Ashley berkata, ia dalam rundingan akhir untuk menjual hak pegangan bebas hartanah itu kepada KWAA Logix Sportivo Ltd pada harga £120.1 juta.

Sunday Times juga berkata, KWSP memiliki KWAA Logix Sportivo dan juga adalah antara pemilik pembangunan stesen tenaga Battersea di London.

Manakala, Mike Ashley pula adalah pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Newcastle United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:15 PM