Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bermula tahun ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kumpulan dana persaraan terbesar Malaysia akan melaporkan prestasi kewangannya mengikut simpanan konvensional dan syariah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Redzuan berkata, pihaknya yakin apabila KWSP mengisytiharkan kadar dividen pertama simpanan berdasarkan syariah, jumlah ahli yang akan bertukar kepada simpanan berkenaan akan meningkat.

Setakat 23 Disember 2016, seramai 635,037 ahli sudah bertukar kepada simpanan syariah dengan penggunaan dana sebanyak RM59.03 bilion daripada RM100 bilion yang ditawarkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KWSP akan terus memberi fokus kepada rancangan untuk memperluaskan aset pelaburannya dalam beberapa segmen termasuk infrastruktur, hartanah dan pasaran ekuiti pada tahun ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, sektor hartanah dan infrastuktur menyumbang RM2.49 bilion pendapatan pelaburan dengan pertumbuhan tahunan 46.04 peratus berbanding 2015, manakala instrumen pasaran wang pula menyumbang RM982.28 juta pendapatan tahun lalu.

“Strategi kepelbagaian dalam pelaburan kami terbukti berkesan terutama pada waktu sukar dan kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif terutama dalam hartanah dan infrastruktur.

“Sepanjang tempoh satu hingga dua tahun lalu, kami sentiasa meningkatkan aset pelaburan dalam sektor berpotensi tinggi yang dipengaruhi oleh permintaan pasaran seperti projek lebuh raya dan tenaga yang dapat meningkatkan aliran tunai bagi jangka panjang,” katanya pada taklimat media, di sini, semalam.

Shahril Ridza berkata, langkah itu selari dengan objektif KWSP sebagai pelabur jangka panjang untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada ahli, malah kelas aset berkenaan juga bertindak sebagai instrumen lindung nilai semula jadi terhadap inflasi.

Menurutnya, KWSP sudah mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016 dengan jumlah pengagihan pendapatan RM37.08 bilion.

Katanya, kadar itu adalah pencapaian yang baik biarpun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar. Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:01 AM