PROJEK Battersea Power Station  ideal untuk pengurus dana jangka panjang.
PROJEK Battersea Power Station ideal untuk pengurus dana jangka panjang.
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang untuk meningkatkan pelaburannya dalam infrastruktur dan hartanah di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengurus dana persaraan itu kini sedang menunggu keputusan untuk mendapatkan pengiktirafan status kedaulatan daripada kerajaan AS bagi membolehkannya melabur dengan lebih berkesan di negara ekonomi terbesar dunia itu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sedang berunding dengan pihak AS untuk mendapatkan status kedaulatan berkenaan.

“Ia (status kedaulatan) juga membolehkan kami melabur dalam hartanah dan infrastruktur (di AS),” katanya ketika ditemui di Invest Malaysia 2018 di sini, semalam.

Mengenai cadangan pembelian pegangan dalam bangunan Battersea Power Station di London, Shahril berkata, cadangan urus niaga itu adalah lebih kepada menstruktur semula pemilikan aset.

Beliau berkata, sebagai pelabur jangka panjang adalah lebih baik untuknya melabur dalam aset berjangka panjang.

“Aset berjangka panjang adalah lebih baik kepada pelabur jangka panjang. Bagi kes Battersea Power Station, ia adalah ideal untuk pengurus dana jangka panjang seperti KWSP dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) kerana kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menyalurkan modal merentasi banyak kitaran (ekonomi)” katanya.

Mengenai potensi kadar dividen bagi tahun kewangan 2017, Shahril berkata, ia mungkin kadar yang baik.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan dividen pada bulan depan.

Pada 2016, KWSP mengisytiharkan dividen 5.7 peratus dengan jumlah pembayaran RM37.08 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 1:53 AM