DADAH jenis syabu yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, baru-baru ini. FOTO Bernama
DADAH jenis syabu yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, baru-baru ini. FOTO Bernama
Oleh Aizat Sharif


Langkawi: Tanggapan masyarakat terhadap penagih dadah masih berada berada pada tahap rendah menyebabkan pelbagai program pencegahan dadah dilihat sebagai tidak efektif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun gejala penagihan dadah kini disifatkan sebagai suatu masalah kesihatan yang kronik, tanggapan masyarakat terhadap gejala itu pula masih berada dalam tahap rendah.

"Stigma masyarakat terhadap pengguna atau penagih dadah masih menebal walaupun pelbagai program pencegahan dadah sudah banyak dilaksanakan," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Isu Dadah Keempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, kedudukan ASEAN dalam isu dadah di rantau ini mengenai masalah yang dihadapi dan cara menanganinya perlu disuarakan untuk menunjukkan komitmen ASEAN.

"Sisi gelap daripada perdagangan bebas ini adalah ia tidak hanya membawa kepada pertumbuhan kewangan, pertumbuhan fizikal dan tidak kemakmuran rantau ini tetapi ia juga membuka akses kepada kemungkinan menularnya sindiket dadah antarabangsa atau jenayah rentas sempadan memperluaskan operasi mereka," katanya lagi.

Turut sama hadir dalam mesyuarat itu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan sebilangan besar delegasi ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 10:48 AM