JORDAN (kiri) dan Mohd Ikhwan menunjukkan pingat yang dimenangi. FOTO Khairull Azry Bidin dan Norasikin Daineh
JORDAN (kiri) dan Mohd Ikhwan menunjukkan pingat yang dimenangi. FOTO Khairull Azry Bidin dan Norasikin Daineh

Norasikin Daineh

[email protected]

KECIL-KECIL cili padi. Itu yang dapat digambarkan bagi seorang murid tahun enam yang mengharumkan nama negara dalam Pertandingan Tarian Dance World Cup di Sitges Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.

Hasil kerja keras Jordan Anthony, 12, dan pasukannya terdiri daripada lima lagi ahli kumpulan Stadansa Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Agnes di Kota Kinabalu, mereka merangkul pingat termasuk emas dalam dua kategori yang disertai pada Jun lalu.

Jordan berkata, dia teruja kerana terpilih bersama pasukannya untuk menyertai pertandingan Dance World Cup dan mereka berlatih bersungguh-sungguh untuk memenangi hati juri.

“Memang terlalu banyak saingan apatah lagi kami berentap dengan pasukan antarabangsa tetapi ia tidak melemahkan semangat kami dan sedia berjuang untuk negara.

“Akhirnya kami dinobatkan juara sekali gus mengharumkan nama negara dalam pertandingan itu,” katanya ketika ditemui di sekolahnya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, walaupun tahun ini dia akan berdepan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun demi minat dia terus aktif dalam aktiviti seni tari yang disertai sejak di tahun tiga.

“Biasanya saya membahagikan masa iaitu di rumah akan fokus untuk ulang kaji pelajaran dan di sekolah selain belajar, kami mengadakan latihan menari pada sebelah petang.

“Jadi tiada masalah dan keluarga, terutama ibu bapa sangat menyokong dengan minat saya,” katanya sambil menambah itu kali pertama dia bersama lima rakan dihantar ke luar negara untuk menyertai pertandingan terbabit.

Dua kategori dimenangi pasukan Stadansa SRK St Agnes ialah Children Small Group National & Folklore dan Children Duet/Trio National & Folklore, manakala Jordan turut meraih gangsa kategori Junior Small Group National & Folklore bagi gabungan Tagaps Dance Theatre dan Stadansa.

Sementara itu, Mohd Ikhwan Mohd Imran, 18, yang meraih empat pingat termasuk emas dalam Pertandingan Tarian Dance World Cup, turut tidak menyangka berjaya mengharumkan nama negara.

Mohd Ikhwan ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau berkata, dia antara enam pelajar dari Ranau yang terpilih menyertai pertandingan itu di Sepanyol.

“Banyak perkara kami perlu tempuhi, termasuk berusaha mengumpul dana setiap seorang untuk menyertai pertandingan itu.

“Ketika itu, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 setiap seorang untuk kos perjalanan, penginapan dan sebagainya.

“Kami terpaksa mengumpul dana dengan melakukan kerja sukarela di kampung dan menerima berapa sahaja bayaran yang diberi, selain membuat persembahan mini konsert amal bagi mendapatkan dana berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mereka berbaloi apabila pulang dengan membawa pingat selain mengharumkan nama negara apabila memenangi empat kategori daripada lima yang disertai.

“Dalam lima kategori yang saya sertai, empat daripadanya iaitu Junior Duet National mendapat pingat emas, Junior Solo National dan Junior Small Group National (perak) dan Senior Small Group Hip Hop (gangsa).

“Setakat ini lebih 100 persembahan dan pertandingan saya sertai di seluruh negara termasuk di Semenanjung dan untuk pertandingan luar negara, itu kali pertama saya sertai dan tak sangka dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 2:03 PM