Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai antara segmen yang tidak dilupakan meskipun sedikit tumpuannya.

Seperti biasa, segmen ICT menerima sejumlah peruntukan meliputi pelbagai aspek daripada nilai keseluruhan Bajet 2016 sebanyak RM267.2 bilion, pengurangan RM6.7 bilion berbanding RM273.9 bilion pada pembentangan Bajet 2015.

Sebanyak RM251.2 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan RM52 bilion lagi sebagai perbelanjaan pembangunan.

Peratusan terbabit hampir sama pada tahun lalu apabila RM223.4 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion lagi sebagai perbelanjaan pembangunan.

Antara peruntukan berkaitan teknologi yang disebut Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2016, baru-baru ini termasuk:

- Pengguna prabayar akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan jumlah GST dibayar yang akan dikreditkan terus ke akaun perkhidmatan prabayar mereka bermula 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

- Melaksanakan Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan hampir RM11 bilion dalam tempoh lima tahun.

- Pelaburan RM6.7 bilion oleh Khazanah Nasional Berhad dalam sembilan projek domestik berimpak tinggi termasuk prasarana komunikasi;

- Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri kimia, elektronik dan elektrikal, mesin dan peralatan, aeroangkasa, peranti perubatan dan perkhidmatan dengan RM730 juta disediakan kepada dana di bawah MIDA.

- Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah RM200 juta di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus.

- Untuk menambah baik prasarana telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan RM1.2 bilion untuk meningkatkan kelajuan Internet luar bandar sebanyak empat kali ganda dari sehingga 5Mbps kepada 20Mbps.

- Selain itu, RM250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi meningĀ­katkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV serta transaksi data interaktif.

- Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di rantau ini, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

- RM100 juta kepada Agensi Inovasi Malaysia;

- RM200 juta di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd

- RM35 juta kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk RM10 juta sebagai dana permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;

- RM30 juta untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah.

- Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building System (IBS) dengan dana khas IBS Promotion Fund sebanyak RM500 juta disediakan melalui SME Bank sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.

- Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2017 dengan dana sebanyak RM1.2 bilion.

Untuk perbandingan, kita imbas semula Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri setahun yang lalu.

Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise (RISE) dengan peruntukan RM10 juta untuk menggalakkan syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, ICT dan industri berasaskan pengetahuan.

Kerajaan memperuntukkan RM200 juta kepada MyCreative Ventures pada 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak RM100 juta.

Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di kawasan ekonomi berimpak tinggi diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak RM2.7 bilion dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun membabitkan pembinaan 1,000 menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut.

Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya:

- Menyasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersialkan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

- Menyediakan dana penyelidikan sebanyak RM290 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D yang berimpak tinggi.

- Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME Technology Penetration, Upgrading Program dan Technology Auditing akan dilaksanakan.

- Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan RM50 juta.

- Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan RM50 juta.

- Talent Corp akan menyediakan RM30 juta bagi program Industry Academia Collaboration di mana, universiti, entiti kerajaan dan industri bekerjasama membangunkan kurikulum program keusahawanan serta latihan industri. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi syarikat pemula atau start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penubuhan MaGIC bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk memudah cara syarikat start-up memulakan perniagaan. Justeru, bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat start-up beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar syarikat start-up ditetapkan sebanyak RM75,000. Usahawan ekspatriat start-up yang layak akan diberi Startup Work Pass untuk tempoh satu tahun.

Kalau dilihat, antara kedua-duanya beberapa dana dan pinjaman disediakan kepada usahawan teknologi tempatan namun hasil yang benar-benar memberangsangĀ­kan belum lagi kelihatan.

Biasanya, kekangan yang berlaku itu adalah disebabkan syarikat tempatan tidak mempunyai rekod baik untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank bagi memperluaskan kegiatan masing-masing.

Inilah yang perlu menjadi fokus kepada agensi seperti MaGIC yang mendapatkan peruntukkan agak besar bagi memastikan kreativiti tempatan tidak dikekang hanya kerana kurangnya pengetahuan dalam menguruskan perniagaan.

Manakala bagi rakyat negara ini yang sememangnya kreatif, anda perlu melihat realiti bersandarkan kepada model perniagaan berdaya maju serta realistik dan bukannya syok sendiri.

Lebih-lebih lagi pelbagai syarikat pemula atau startup yang tumbuh seperti cendawan namun gendangnya hanya sekali ketuk saja.

Mungkin ramai kurang mengerti makna perkataan terbabit.

Perkataan start-up secara kasarnya bermakna anda baru saja memulakan syarikat dan mencari pelabur untuk meneruskan operasi berdasarkan idea asli yang diilhamkan.

Start-up mula diungkapkan syarikat teknologi yang baru saja bertapak namun disebabkan ramai dalam kalangan mereka berjaya, maka perkataan start-up menjadi popular. Misalnya, Facebook, Instagram dan WhatsApp yang semuanya bermula sebagai start-up.

Pelbagai kajian menunjukkan manusia mempunyai daya kreativiti dan imaginasi tersendiri yang mampu diterjemahkan ke dunia nyata.

Konsep terbabit mampu menjadikan anda berkecimpung terutama dalam bidang teknologi yang memerlukan idea baru bagi keperluan kehidupan.

Jika anda mempunyai idea bersesuaian, teruskan langkah merealisasikannya dalam bentuk aplikasi yang kini meluas memandangkan penggunaan telefon pintar bukan lagi keperluan asing dalam kehidupan.

Semua individu mempunyai keupayaan dengan idea bernas terutama penduduk Malaysia yang mampu ditransformasikan ke peringkat lebih jauh.

Apa yang diperlukan hanyalah tumpuan dan sokongan selain mampu berdikari.

Setiap kali idea itu datang, terjemahkannya ke peringkat lebih tinggi dan jangan sekali-kali mengalah jika gagal pada peringkat awal.

Golongan muda antara yang perlu memandang serius Bajet 2016 berkaitan syarikat pemula sekiranya mempunyai idea baik untuk menghasilkan produk sendiri.

Kebanyakan syarikat pemula yang membangunkan idea kreatif seperti aplikasi sekarang berdepan masalah untuk mengkomersialkan produk mereka kerana tidak diberi pendedahan sewajarnya berkaitan kehendak pasaran.

Ideanya mungkin baik, tetapi ia perlu diperluaskan supaya bertahan lama dan bukannya cukup makan setahun dua.

Golongan muda perlu diberi fokus kerana kita mahu bantu lepasan universiti atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Ini kerana golongan ini yang akan memacu pembangunan ekonomi Malaysia pada masa depan.

Golongan muda mempunyai idea yang boleh dimajukan jika diberi peluang dan bimbingan sepatutnya.

Bagaimana agensi dapat membantu golongan usahawan teknologi muda ini untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka?

Kebanyakan agensi ditubuhkan bagi membantu semua jenis usahawan berkaitan teknologi atau bidang lain.

Mereka akan mengumpulkan semua jenis usahawan dan mereka yang berminat dalam bidang teknologi dan menyediakan latihan serta bimbingan kepada mereka seperti diperuntukkan dalam bajet setiap tahun.

Antara program yang akan ditawarkan adalah jalinan kerjasama, mentor dan padanan perniagaan.

Golongan muda mempunyai banyak idea tetapi kurang pengalaman dan banyak yang kita dengar, tetapi malang ada antara idea akhirnya dibeli oleh syarikat besar dari luar negara.

Malaysia perlu melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang kreativiti dan inovasi. Ia bukan saja meningkatkan pendapatan mereka, bahkan mengharumkan nama negara.

Semuanya mampu dilaksanakan, namun golongan muda harus melepasi satu halangan iaitu pemikiran mereka sendiri.

Tahap kecekalan dan berdaya tahan jika mahu menjadi usahawan berjaya serta tidak hanya hangat-hangat tahi ayam di separuh jalan.

Sementara itu, dari aspek prasarana, pembangunan lebih banyak pencawang telekomunikasi dan pemasangan HSBB di kawasan bandar sememang langkah baik.

Tetapi kawasan luar bandar juga harus disediakan dengan kemudahan asas HSBB dan pencawang telekomunikasi yang berkelajuan sekurang-kurangnya 4G bagi memasikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pantas dunia maklumat kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:41 AM