GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang melaksanakan misi mempersiapkan syarikat pemula niaga negara untuk mendorong mereka menuju ke arena global, memandangkan syarikat berkenaan telah menempa nama dan memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pemula niaga seperti Aerodyne, Carsome, EasyParcel, Fave, Grab, iFlix, Kaodim dan Pop Meals (sebelum ini dikenali sebagai dahmakan) merupakan beberapa contoh syarikat yang telah mewujudkan inovasi.

"Kerajaan amat menyedari bahawa aspek kemudahan banyak membantu dalam usaha menarik syarikat pemula niaga jadi, kita menawarkan pemprosesan yang pantas, infrastruktur ditambah baik dan peningkatan kebolehcapaian.

"Perlu diberi perhatian bahawa kejayaan kita sejauh ini telah didorong oleh usaha pelbagai kementerian dan tidak ada satu entiti pun yang boleh dikecualikan," katanya dalam artikel bertajuk 'Malaysia a Haven for Startups and Tech Innovations' yang disiarkan menerusi kolum 'Thoughts' di laman web Bernama.

Beliau berkata, krisis Covid-19 menjejaskan ramai rakyat Malaysia dan perniagaan, ia juga membawa kesukaran besar bagi syarikat pemula niaga terutama dari segi modal dan permintaan.

Kerajaan berperanan sebagai penyelamat apabila memperkenalkan insentif antaranya menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan dana RM15 bilion serta Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion, katanya.

Siti Hamisah berkata, bagaimanapun, bantuan kewangan saja tidak mencukupi.

"Syarikat pemula niaga perlu menjadi kreatif dan inovatif, menjalinkan perkongsian atau kerjasama dengan peserta lain serta syarikat besar, agensi kerajaan dan para pelabur," katanya.

Beliau berkata justeru, ini mendorong kerajaan, melalui MOSTI, untuk melancarkan Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) yang direka untuk mempercepat matlamat Malaysia ke arah menjadi negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi.

"NTIS, yang diusahakan di bawah PENJANA, membantu menyokong dan memperhebat usaha untuk membangunkan bidang teknologi serta memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain pengkomersialan teknologi tempatan.

"Kelebihannya ialah NTIS membolehkan para penyelidik, pihak yang membawa pembaharuan, syarikat pemula niaga dan usahawan teknologi tinggi menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme pelaksanaan mereka dalam lingkungan yang menawarkan sedikit kelonggaran daripada semua atau beberapa keperluan pengawalseliaan," katanya.

Siti Hamisah berkata, MOSTI akan turut menyediakan peluang bagi kalangan syarikat pemula niaga dan inovator berserta penggiat industri lain bagi memanfaatkan Expo 2020 Dubai selain menghubungkan penggiat global dan pasaran untuk memastikan Malaysia mampu menyahut cabaran melahirkan pemula niaga terkemuka di peringkat dunia.

Ekspo dunia yang bertemakan 'Connecting Minds, Creating the Future' (Menghubungkan Minda, Mewujudkan Masa Depan) akan diadakan mulai 1 Okt, 2021 hingga 31 Mac, 2022 di Dubai dan disertai oleh 192 negara dan organisasi.

Sepanjang acara itu, Pavilion Malaysia akan menjadi hos bagi 26 program mingguan perniagaan dan perdagangan berdasarkan tema tertentu.

"MOSTI dan agensi-agensinya, Technology Park Malaysia dan Cradle Fund akan mengetengahkan program iaitu masing-masing 'Commercialisation - From Lab to International Week' (Minggu Pengkomersialan - Daripada Makmal ke Antarabangsa) dan 'Creating Tomorrow's Sustainable Startups Week' (Minggu Mewujudkan Pemula Niaga Mampan Masa Depan).

"Syarikat yang terbabit dalam program itu menceburi sektor teknologi maklumat dan komunikasi, kejuruteraan canggih atau terkini, bahan maju, bioteknologi, pertanian, penjagaan kesihatan, kosmetik serta teknologi perubatan," katanya.

Siti Hamisah yang berperanan sebagai Pesuruhjaya Jeneral Malaysia bagi Expo 2020 Dubai, juga menyifatkan usaha terbabit seiring dengan hasrat Tahun Pengkomersialan Malaysia 3.0 bagi membawa industri ke pasaran global selain meletakkan barisan inovator, penyelidik dan syarikat pemula niaga Malaysia di peta dunia.

"MOSTI bukanlah satu-satunya kementerian yang menerajui usaha menonjolkan syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita di Expo 2020 Dubai.

"Sebaliknya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menerajui sejumlah 19 syarikat pemula niaga dan PKS pada Minggu 'Start up Local, End up Global' (Minggu Pemula Niaga Lokal, Berakhir Di Global) pada ekspo itu," katanya.

Lebih daripada 200 syarikat dan syarikat pemula niaga, PKS, inovator, usahawan teknologi, usahawan sosial dan syarikat berkaitan kerajaan akan turut serta sebagai delegasi perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:41 PM