USAHAWAN Bumiputera perlu lebih proaktif dalam meningkatkan kemahiran perniagaan dan industri masing-masing.
USAHAWAN Bumiputera perlu lebih proaktif dalam meningkatkan kemahiran perniagaan dan industri masing-masing.
 ABDUL Latiff
ABDUL Latiff

USAHAWAN Bumiputera perlu lebih proaktif dan progresif dalam meningkatkan kemahiran perniagaan dan industri masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat pemula niaga Bumiputera untuk meningkatkan pembangunan negara.

Sehubungan itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sudah memainkan peranan penting sebagai penyelaras utama agenda ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bertrajektori tinggi melalui program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb).

"Pada skala global, nilai startup (pemula niaga) mencecah AS$3 trilion, setara dengan keluaran dalam negara kasar ekonomi negara-negara Kumpulan 7 (G7).

"Tambahan pula, Malaysia mendapat skor 10 dari segi prestasi dan jangkauan pasaran dalam Global Start-Up Ecosystem Report 2020 (GSER 2020)," katanya pada Majlis Sesi Pengiktirafan Pemenang Superb 2021 secara dalam talian.

Mengenai Superb, Abdul Latiff berkata, beliau percaya program terbabit berupaya mencungkil bakat serta membina kapasiti usahawan Bumiputera untuk bersaing di tahap global.

Menurut Teraju, lebih 62 peratus produk dan perkhidmatan daripada 208 usahawan Superb sudah berjaya dikomersialkan di pasaran tempatan serta antarabangsa sejak program itu dilancarkan pada tahun 2014.

Sehubungan itu, satu rangkaian Keluarga Teraju akan diwujudkan dengan semua usahawan Superb supaya mereka dapat mencari rakan kongsi Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi meningkatkan perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata, seramai 19 pemenang Superb 2021 memenangi dana sehingga RM 500,000 bagi peringkat pengkomersialan manakala empat pemenang pada peringkat penciptaan idea dengan dana sehingga RM 100,000 dengan peruntukan keseluruhan sejumlah RM 11.5 juta.

"Teraju akan mengikuti perkembangan mereka seperti yang sudah kami lakukan dengan 208 pemenang Superb sebelum ini supaya kami sentiasa dapat memberi sokongan dan peluang rangkaian melalui program serta rakan kongsi sedia ada," katanya.

Katanya, ia juga menyokong hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), intipati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan tumpuan utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 7:00 AM