Kuala Lumpur: Syarikat yang baru memulakan perniagaan permulaan atau start-up perlu mempunyai prototaip bisnes yang jelas merangkumi pemahaman mengenai pasaran secara menyeluruh termasuk menerapkan tiga elemen penting untuk mengukuhkan tapak sebelum melangkah ke peringkat global.

Ketua Bahagian Produk Dtac Thailand, Krating Poonpol berkata, antara tiga elemen itu ialah model bisnes yang kukuh membabitkan penyelesaian masalah berskala besar harus menjadi elemen utama kepada kumpulan syarikat permulaan.

“Saya sering memberi gambaran kepada ‘start-up’ untuk cuba menyelesaikan masalah membabitkan satu juta pengguna. Jika mereka bersiap sedia dengan strategi pemasaran lengkap, bermakna mereka bersedia menghadapi cabaran pasaran antarabangsa.

“Pengetahuan menyeluruh mengenai industri, kemahiran tambahan daripada ahli kumpulan dan kesungguhan perlu disuntik dari peringkat awal selain melatih diri untuk memikirkan idea baru dengan pantas serta tidak membabitkan kos tinggi,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro di Telenor Youth Summit, Oslo, Norway, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebelum melangkah ke pasaran luar, syarikat ‘start-up’ perlu memberi tumpuan kepada kualiti dan model bisnes.

“Sasaran jumlah pengguna berskala kecil pada peringkat awal adalah strategi terbaik dalam membentuk model bisnes berjaya. Peringkat permulaan adalah fasa mencuba. Ia bukan hanya membabitkan kuantiti semata-mata, tetapi keberkesanan model digunakan,” katanya.

DTac adalah syarikat telekomunikasi Thailand dimiliki Telenor Group berpengkalan di Oslo, Norway. Dtac dan Telenor Digital melancarkan Dtac Accelerate, program inkubator bersama yang dibiayai untuk membantu syarikat permulaan di Thailand.

Konsep ini membantu syarikat permulaan dengan memberi latihan mentor kendalian pemain industri bertaraf global, pembimbing idea, bantuan dalam pemasaran dan pengeluaran.

Ditanya mengenai senario syarikat permulaan di Malaysia, Krating berkata, kumpulan ‘start-up’ di Malaysia lebih berjaya berbanding Thailand dibantu inisiatif kerajaan seperti MaGIC dan jumlah ‘start-up’ di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Thailand iaitu antara 300 hingga 500 unit mengikut rekod.

“Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) bagi mewujudkan ekosistem lebih kondusif untuk memudahcara syarikat ‘start-up’ memulakan pemiagaan adalah platform terbaik.

“MaGIC selaku pusat sehenti usahawan merangkumi semua aspek termasuk permohonan pembiayaan kepada institusi perbankan serta penyaluran modal teroka kepada syarikat inkubator dan syarikat baru berdaya maju adalah peluang yang perlu direbut syarikat permulaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:05 AM