Pada usia 60 tahun, aktres legenda Rekha terus berada dalam kelas tersendiri dan dia adalah diva Bollywood sebenar.

Ketika zaman gemilangnya, kebanyakan filemnya laris di pasaran dan tiada yang dapat me­ngalahkan pesonanya.

Rekha juga terkenal de­ngan penampilannya yang gemar bersari merah ke­emasan, bergincu merah menyala dan melepaskan rambut panjang ikal mayang.

Gayanya itu turut menjadi ikutan aktres muda seperti Vidya Balan, Sonam Kapoor dan ramai lagi aktres yang cukup mengagumi gaya, cara dan penampilannya.

Rekha yang sangat menjaga 'privasinya' sentiasa berhati-hati mengeluarkan kenyataan apabila ditemubual media. Dia tidak gemar menghadiri majlis hiburan dan lebih memilih kehidupan yang misteri bahkan statusnya pernah berkahwin atau tidak juga terus menjadi tanda tanya peminat.

"Saya menjalani kehidupan ini dengan sepenuhnya tetapi saya sering kesu­nyian. Saya tidak ada kawan dan pada saya erti kesenangan ialah semua berkisar dalam kehidupan saya sendiri-dengan siapa saya berjumpa, ke mana saya nak pergi dan apa yang saya mahukan," kata Rekha.

Antara artis yang amat menyanjungnya, Hrithik Roshan, Shah Rukh Khan (SRK), Priyanka Chopra, Aishwarya Rai, Shilpa Shetty dan Anupam Kher.

Rekha pada pandangan Hrithik adalah wanita yang mempu­nyai pelbagai wajah kasih sayang, setiap lelaki mahukannya dan ramai wanita yang mahu jadi sepertinya.

Kata Priyanka pula, setiap kali dia memandang Rekha, jika dia lelaki pasti dia akan jatuh cinta pandang pertama melihatkan pesona aktres itu.

"Saya yakin ramai aktor sezamannya jatuh cinta dengannya. Dia adalah wanita yang sangat sempurna dan segala ciri yang ada padanya melambangkan seorang wanita yang seksi," kata Priyanka.

SRK menyifatkan nama Rekha itu sendiri menunjukkan dia seorang yang karismatik, berbakat, jelita dan penuh dengan emosi.

"Melihatkan diri dan wajahnya seperti tidak 'dimakan' tua membuatkan diri saya berasa lebih berusia daripadanya," kata SRK.

Vidya pula meletakkan kedudukan Rekha sebagai wanita India sejati yang sa­ngat jelita mengenakan sari.

Aktres pertama yang Aishwarya Rai Bachchan (Aish) jumpa adalah Rekha yang mana ketika itu Aish baru jadi model.

Bagi Shilpa pula, Rekha adalah diva Bollywood paling sempurna yang hidup dikeliling misteri.

Rekha bakal berlakon dalam filem baru berjudul Super Nani arahan Indra Kumar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 10:49 PM