ELAK meredah kawasan berair.
ELAK meredah kawasan berair.

Ketika saya cuba meredah laluan kawasan berair ketika hujan lebat, enjin kereta tiba-tiba mati. Apakah puncanya dan bagaimana saya mahu menyelesaikan masalah itu?

MOHAMMAD TAIB, Sarawak

Adalah tidak digalakkan untuk meredah kawasan berair yang melebihi separuh ketinggian tayar anda. Bergantung pada kelajuan meredah, air mungkin terpercik dan membasahi bahagian komponen enjin.

Mengandaikan bahawa anda tidak meredah air yang terlalu dalam sehingga menenggelamkan karburetor, air yang terpercik mungkin meresap ke dalam penutup palam pencucuh.

Penutup itu mempunyai getah penebat dan ia mungkin sudah pecah atau keras, sekali gus menyebabkan air membasahi palam pencucuh serta menyebabkan litar pintas.

Ia akan menyebabkan palam pencucuh tidak bernyala dan enjin akan mati. Periksa semua penebat getah pada kabel palam pencucuh dan pastikan semua dalam keadaan baik.

Air itu juga mampu membasahi bahagian penutup pengagih dan akan menyebabkan litar pintas. Kejadian yang sama juga boleh berlaku jika anda tidak berhati-hati ketika membasuh enjin kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:00 AM