PEMAIN KLHC, Akhtar Ali (kanan) menjaringkan gol ketiga.
PEMAIN KLHC, Akhtar Ali (kanan) menjaringkan gol ketiga.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hanya tujuh minit diperlukan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk meleburkan impian Sapura apabila melakar kemenangan 4-0 pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) semalam.

Dengan kemenangan itu, KLHC kini merampas kedudukan teratas liga daripada Terengganu Hockey Team (THT) dengan mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan.

Di bawah bimbingan bekas jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, KLHC dilihat buntu mencari gol pembukaan sebelum Muhammad Razie Abd Rahim menyumbang gol pertama menerusi pukulan sudut penalti minit ke-35.

Selang beberapa saat kemudian, penyerang muda negara Rashid Baharom meledak gol kedua hasil serangan balas.

Pemain import Akhtar Ali menjadikan kedudukan 3-0 m-39, juga menerusi jaringan padang sebelum Ahmad Kazamirul Nasruddin melengkapkan kemenangan KLHC dengan gol keempat dua minit kemudian.

“Empat gol itu berpunca daripada kami yang beraksi 10 pemain. Apabila berdepan situasi itu, corak permainan mula berubah dan kami terpaksa bertahan.

“Pemain juga tidak beraksi dengan baik dan ini menyebabkan kami dihukum,” kata jurulatih Sapura Tai Beng Hai.

Dhaarma pula berharap kemenangan itu dapat diteruskan apabila bertemu UniKL esok.

“Walaupun ramai yang menjangkakan kami dapat menewaskan UniKL, tetapi bagi saya tiada perlawanan mudah. Seperti kami, UniKL juga mempunyai kelebihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:09 AM