Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Tewas kali ketiga berturut-turut. Begitulah aksi hambar dipamerkan skuad hoki negara pada siri perlawanan persahabatan di Eropah selepas tewas kali ketiga kepada skuad campuran Kanada semalam.

Kali ini, skuad bimbingan Tai Beng Hai dibelasah 2-6, keputusan yang jauh lebih buruk berbanding dua perlawanan awal yang menyaksikan mereka tewas tipis 1-2 dan 0-1.

Skuad negara ketinggalan seawal minit ketiga menerusi gol jaringan Tom Heibendaal.

“Akibat hilang tumpuan dalam tempoh lima minit, lawan berjaya menjaringkan tiga gol lagi menerusi Hiebendaal, Florist Van Der Linden dan Jasper Luijx,” kata Beng Hai.

Bagaimanapun skuad negara berjaya memecah kebuntuan menerusi gol Ahmad Kazamirul Nasruddin untuk meletakkan skuad negara ketinggalan 1-4 selepas berakhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Firhan Ashaari menambah gol kedua m-36, namun gawang skuad negara bolos dua kali menerusi jaringan Jasper dan Hiebendaal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 9:37 AM