AKSI skuad Malaysian Tigress (baju jingga) ketika tewas di tangan India. -Foto Agensi
AKSI skuad Malaysian Tigress (baju jingga) ketika tewas di tangan India. -Foto Agensi
Saiful Affendy Sapran


HASRAT skuad hoki wanita negara untuk mengutip tiga mata penuh ketika bertemu India tidak kesampaian, apabila tewas 0-2 pada aksi terakhir Kumpulan A, Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Malaysian Tigress dilihat mempamerkan semangat melawan tinggi apabila berjaya menyekat pasukan ranking keenam dunia itu daripada menjaringkan gol selepas berakhir tiga suku pertama.

Berlangsung di Stadium Hoki Kawasaki Jyukou, gawang skuad negara hanya bolos pada enam minit terakhir perlawanan selepas Vandana Katariya menjaringkan gol padang minit ke-54.

Gurjit Kaur kemudian menambah satu lagi gol, seminit selepas itu hasil pukulan sudut penalti.

Di sebalik kekalahan kedua, selepas selepas tewas 4-5 kepada China pada perlawanan pertama, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tetap memuji barisan pemainnya.

“Pemain memang beraksi cukup bagus sehingga suku keempat, yang menyaksikan kita mula menerima tekanan tinggi.

“Gol pertama India terhasil menerusi serangan balas, manakala gol kedua adalah pukulan sudut penalti,” katanya ketika dihubungi.

Dengan kekalahan itu, skuad negara yang hanya menang 8-0 ke atas Singapura semalam, menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan.

Kedudukan itu menyaksikan Malaysia akan bertemu juara bertahan, Jepun yang menduduki tangga kedua Kumpulan B, pada aksi suku akhir, Khamis ini.

Dhaarma menegaskan, beliau mahu barisan pemainnya melupakan segera kekalahan kepada India dan mengharapkan tuah memihak kepada skuad negara apabila bertemu Jepun.

“Sejak perlawanan pertama, kita tidak pernah bertuah. Harap kita dapat tuah di suku akhir nanti.

“Kita mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika perlawanan persahabatan dengan Jepun baru-baru ini. Jadi apa saja boleh berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 7:32 PM