AKSI skuad negara ketika menentang Kazakhstan. -Foto Agensi
AKSI skuad negara ketika menentang Kazakhstan. -Foto Agensi
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki wanita negara terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Kazakhstan 2-1 pada aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan saingan Piala Asia, di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Malaysian Tigress yang gagal memenuhi sasaran untuk menempah tiket ke separuh akhir, ketinggalan pada minit ke-24 selepas jaringan Aigerim Makhanova.

Skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Nuraslinda Said minit ke-31.

Kapten skuad negara Siti Noor Amarina Ruhani meletakkan Malaysia di depan dua minit kemudian hasil pukulan sudut penalti.

Dhaarma nyata tidak gembira dengan corak bertahan Kazakhstan yang menafikan barisan pemainnya untuk menjaringkan lebih banyak gol.

“Apabila kita bertemu dengan lawan yang kesemua pemain berkumpul di dalam kawasan D, ia akan memberi masalah besar untuk kita sekiranya tak dapat jaringkan gol daripada peluang yang kita perolehi.

“Situasi lebih rumit apabila Kazakhstan yang sekali saja berjaya masuk ke dalam kawasan D mendapat gol berpunca daripada kesilapan pemain kita.

“Dalam suku keempat, selepas mendahului 2-1, kita tak mahu mempamer permainan menyerang sebab lawan masih berkumpul di dalam kawasan D,” katanya.

Dengan kemenangan itu, skuad negara akan turun pada perlawanan penentuan tempat ke-5/6 bertemu Thailand esok.

“Saya menjangkakan Thailand juga akan bermain secara bertahan seperti dilakukan oleh Kazakhstan hari ini,” kata Dhaarma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 6:46 PM