Zulfadli masih ada enam kejohanan sebelum 2015 menutup tirai saingan. - Foto fail NSTP
Zulfadli masih ada enam kejohanan sebelum 2015 menutup tirai saingan. - Foto fail NSTP

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkifli optimis masih berpeluang menempah tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro di Brazil tahun depan.

Zulfadli yang merupakan bekas juara remaja dunia 2011 melahirkan keyakinan itu berikutan pencapaian yang lebih baik dalam sesebuah kejohanan pada musim ini.

"Kalau mengikut ranking bagi 'Race to Rio', saya masih ada peluang sebab dua pemain dari setiap negara akan dipilih dalam kalangan pemain 15 terbaik dunia.

"Ranking saya kini ke-30, esok akan keluar ranking terbaru. Mungkin ranking saya boleh naik ke-23 atau ke-24 terbaik. Jadi hanya tinggal tujuh atau lapan tangga lagi untuk capai 15 terbaik," katanya kepada pemberita.

Zulfadli yang akan menyertai Kejohanan Korea Master di Jeonju, Korea Selatan pada 3 hingga 8 Nov ini berkata beliau masih mempunyai masa sehingga enam bulan untuk membuktikan kemampuannya dan memperbaiki kedudukan rankingnya.

Katanya, sebelum musim 2015 berakhir Zulfadli masih berbaki enam kejohanan akan disertainya.

Sebagai rekod, sepanjang musim 2015, pencapaian terbaik Zulfadli adalah menjadi finalis bagi Kejohanan Antarabangsa Sydney dan semifinalis kejohanan badminton Terbuka Rusia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 4:08 PM