Zulfadli Zulkifli gagal atasi Tanongsak sekali gus mengakhiri cabaran perseorangan lelaki negara. -Foto fail
Zulfadli Zulkifli gagal atasi Tanongsak sekali gus mengakhiri cabaran perseorangan lelaki negara. -Foto fail
Daripada Helmi Talkah


CABARAN Malaysia dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, berakhir selepas pemain profesional, Zulfadli Zulkifli tersingkir di pusingan kedua, hari ini.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu tewas kepada pilihan ke-11, Tanongsak Saensomboonsuk 18-21, 13-21 di Emirates Arena,

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia tiada lagi wakil perseorangan lelaki selepas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei tersingkir di pusingan pertama semalam.

Bagi Zulfadli dia tetap berpuas hati dengan prestasinya dan menyifatkan Tanongsak bernasib baik dalam perlawanan kerana dia beberapa kali terperangkap menerusi permainan di jaring.

“Saya perlu akui Tanongsak bermain lebih baik hari ini.

“Saya tahu rakyat Malaysia mahu melihat saya pergi jauh kali ini terutama selepas kekalahan Chong Wei namun saya masih dalam proses belajar untuk memikul tanggungjawab besar,” kata Zulfadli selepas perlawanan.

Ia penampilan kedua pemain berusia 24 tahun itu di Kejohanan Dunia selepas edisi 2015 di Jakarta, Indonesia yang menyaksikan dia sampai ke pusingan ketiga.

Zulfadli akan terus ke Taiwan bagi membantu kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade).

“Ini kali ketiga saya beraksi di Universiade dengan pencapaian terbaik mara ke pusingan 16 terbaik.

“Kali ini saya harap boleh lakukan yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:44 PM