Zulfadli sasar slot separuh akhir di Bangkok. Foto STR/Owee Ah Chun.
Zulfadli sasar slot separuh akhir di Bangkok. Foto STR/Owee Ah Chun.

Kuala Lumpur: Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli menyifatkan penyertaan dalam kejohanan Grand Prix (GP) Emas Thailand minggu depan sebagai 'pemanas badan' sebelum mengetuai cabaran negara ke Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di India.

Zulfadli akan menyertai kejohanan di Bangkok dari 8 hingga 13 Februari itu sekali gus memaksanya meninggalkan latihan pusat skuad negara.

"Saya akan buat yang terbaik untuk memastikan pengalaman di Bangkok berbaloi dan boleh digunakan sewaktu BATC nanti.

"Sebaik sahaja cabaran saya di Thailand berakhir, saya akan terus ke India menyertai skuad negara. Di Bangkok, saya sasarkan mara ke separuh akhir," katanya selepas sesi latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar skuad muda ke BATC, dengan Zulfadli, juara remaja dunia 2011, mengetuai barisan perseorangan lelaki bersama juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi.

Pada kejohanan BATC di Hyderabad, India dari 15 hingga 21 Februari Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Jepun bersama Sri Lanka dan Nepal.

Zulfadli berkata beliau akan melakukan yang terbaik demi negara dan tidak mahu meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya selaku pemain yang memberikan mata pertama Malaysia.

"Pasukan lain turut ada pemain berpengalaman sendiri. Perseorangan utama sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 terbaik dunia. Saya berpesan kepada diri sendiri jangan fikirkan tentang ranking pemain lain hanya buat yang terbaik untuk diri sendiris," katanya.

Kejohanan di India itu menjadi pusingan kelayakan menempah slot ke pusingan akhir Piala Thomas yang akan berlangsung serentak dengan pusingan akhir Piala Uber di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 3:50 PM