Zulfadli terpaksa tarik diri akibat kecederaan buku lali. -Foto fail
Zulfadli terpaksa tarik diri akibat kecederaan buku lali. -Foto fail
Peng Soon (kiri) dan Yee See gagal cipta kejutan selepas tewas dengan Siwei dan Yaqiong. -Foto fail
Peng Soon (kiri) dan Yee See gagal cipta kejutan selepas tewas dengan Siwei dan Yaqiong. -Foto fail
Helmi Talkah


CABARAN Malaysia di Terbuka Macau berakhir selepas dua wakil negara iaitu beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan pemain perseorangan lelaki profesional, Zulfadli Zulkifli terkandas di separuh akhir hari ini.

Peng Soon-Yee See gagal dalam usaha mereka untuk mencipta kejutan apabila terpaksa akur dengan kehebatan pasangan China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong sekali gus tewas 12-21, 12-21 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 32 minit.

“Hari ini lawan kami bermain sangat laju dan mereka mempunyai taktikal yang baik untuk mengatasi kami. Itu membuatkan kami tertekan dan sekali gus hilang fokus ketika di atas gelanggang.

“Walaupun tewas namun saya merasakan pencapaian kami mara sehingga ke separuh akhir juga tidak kurang hebatnya. Kami akan perbaiki kelemahan bagi bersedia menghadapi Terbuka China pula (bermula Selasa ini),” kata Peng Soon ketika dihubungi di Macau, hari ini.

Pasangan ke-31 dunia itu boleh disifatkan ‘cepat meningkat’ dengan aksi konsisten mereka termasuk ketika menjuarai Terbuka Russia selain mara ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Denmark, September lalu.

Sementara itu, Zulfadli terpaksa menarik diri daripada aksi separuh akhir menentang pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa susulan kecederaan buku lali.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu mengalami kecederaan berkenaan ketika bertemu pemain Taiwan, Shih Kuei Chun dalam aksi suku akhir, semalam.

Zulfadli menang 15-21, 21-18, 21-6 dalam pertemuan itu untuk layak ke separuh akhir.

“Zulfadli tergelincir ketika mendahului pemain Taiwan berkenaan 18-6 dan menyebabkan buku lalinya bengkak. Kami fikir ia kecederaan biasa dan bengkaknya akan susut hari ini namun ia menjadi bertambah serius.

“Jadi, kami ambil keputusan untuk menarik diri. Kecederaan ini juga menyaksikan Zulfadli terpaksa menarik diri daripada Terbuka China (bermula Selasa ini) kerana dia memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih,” kata jurulatih yang juga bapa Zulfadli, Zulkifli Sidek.

Zulfadli dijangka menyertai Korea Masters hujung bulan ini - kejohanan terakhirnya tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:24 PM