Nurul Husna Mahmud


APABILA menempuh perjalanan jauh atau melancong ke lokasi yang asing, tabiat dimiliki segelintir individu adalah gemar menahan daripada membuang air besar.

Alasan disebabkan tidak selesa membuang di tempat baharu selain faktor lokasi perhentian rehat sementara itu tidak dilengkapi kemudahan tandas selesa.

Kalau sekali tidak mengapa, tetapi tabiat buruk itu dilakukan berulang kali boleh mengundang gejala penyakit dan akhirnya komplikasi buruk kepada kesihatan.

Apatah lagi apabila individu itu tidak mengambil air mencukupi kerana tidak mahu perjalanan terganggu dan bimbang sukar mencari tandas di pertengahan jalan.

Bagi individu yang mempunyai kecenderungan atau tabiat sebegitu, biasanya mereka akan mengalami gejala sembelit. Sembelit berlaku apabila kolon menyerap terlalu banyak air atau jika otot kolon mengecut secara perlahan selanjutnya menyebabkan najis bergerak ke arah kolon secara terlalu perlahan.

Akibatnya, najis akan menjadi keras dan kering. Ada ketika sembelit yang tidak dirawat atau menjalani pemakanan baik boleh berubah kepada masalah lebih serius iaitu buasir.

Justeru amalkan tabiat ini dalam mencegah masalah sembelit:

1. Sebaiknya aturkan waktu konsisten untuk anda membuang air besar dengan aturan waktu makan konsisten.

Menurut Profesor Perubatan New York Medical College, Nicolette Francey, usus besar pada ‘mod’ sedia untuk membuang isinya sekitar 30 minit selepas pengambilan makanan pertama atau sarapan.

Jadi berdasarkan perkongsian itu, rasanya individu yang menempuh perjalanan jauh boleh merancang rutin harian dari segi waktu makan dan lain-lain bagi membolehkan ‘jam’ semula jadi pada tubuh juga berfungsi mengikut aturan mereka.

Ada juga kajian lain membabitkan Pakar Gastroenterologi Duke University Hospital di Carolina Utara, Amerika Syarikat, Joanne AP Wilson menekankan, pengambilan makanan pada awal waktu membantu merangsang refleks baik pada perut ke usus besar terutama sarapan dianggap ‘pemacu’ kepada aliran usus baik atau sistem penghadaman lancar.

2. Pengambilan serat dalam diet.

Kekurangan serat boleh memberi kesan kepada sistem penghadaman tubuh. Justeru terdapat dua jenis serat iaitu serat larut dan tidak larut. Serat larut memperlahankan penghadaman dan membantu menyerap nutrien daripada makanan. Serat tidak larut membantu najis melewati lebih cepat melalui usus.

Serat tidak larut ada pada roti bijirin, bijirin dan pasta. Serat bijirin umumnya mempunyai dinding sel yang menahan pencernaan dan mengekalkan air dalam struktur selular. Bran gandum sangat berkesan sebagai ‘julap’ semula jadi selain boleh didapati pada buah-buahan serta sayur tertentu.

3. Pengambilan air yang mencukupi untuk tubuh.

Pakar perubatan Graduate Hospital Philadelphia, Amerika Syarikat, Robyn Karlstadt menyarankan pengambilan air enam hingga lapan gelas sehari bagi melembutkan najis dan mempercepatkan perjalanan sisa dalam kolon ke luar.

4. Pengambilan laksatif atau pencahar semula jadi.

Pakar Perunding Nutrisi, Dr Lawrence Wilson menyarankan apabila rasa kurang selesa disebabkan sembelit, ambil susu, jus prun atau semangkuk sup panas bagi membantu mempercepatkan proses pengaliran isi perut.

Selain itu dalam satu kajian di UK, pengambilan secawan kopi boleh mempercepatkan pembuangan sisa perut.

5. Duduk dan relakskan diri.

Memaksa untuk membuang air besar boleh membuat perkara menjadi lebih teruk. Biasanya boleh berisiko untuk menjadi buasir atau prolaps rektum.

Cara lain untuk membantu mempercepatkan aliran ialah bengkokkan badan ketika duduk di tandas kerana ia meluruskan usus dan membantu melancarkan najis lebih cepat.

6. Aktifkan diri.

Berjalan, berenang atau melakukan latihan aerobik lain selama 30 minit tiga kali seminggu cukup untuk mengatasi sembelit. Tetapi ingat ambil air mencukupnya apatah lagi melakukan kegiatan aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 5:30 AM