AMINAR Rashid bersama 120 kanak-kanak yang menonton tayangan eksklusif ‘BoboiBoy The Movie’.
AMINAR Rashid bersama 120 kanak-kanak yang menonton tayangan eksklusif ‘BoboiBoy The Movie’.
myMetro

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meraikan 120 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada tiga rumah kebajikan bagi menyaksikan tayangan eksklusif filem animasi ‘BoBoiBoy The Movie’ sebelum ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 3 Mac ini.

Kanak-kanak yang menghadiri tayangan itu adalah mereka yang berumur antara tujuh hingga 16 tahun dari Rumah Amal Limpahan Kasih, Persatuan Kebajikan Rumah Anak-anak Yatim Damai Kuang dan Shepherd’s Centre Foundation.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya percaya tiada apa yang lebih berkuasa daripada ilmu pengetahuan dan jalan terbaik bagi berkongsi pengetahuan adalah melalui hiburan.

“Oleh itu, saya harap mereka akan berseronok menonton filem ini dan dalam masa sama mempelajari nilai-nilai yang baik,” katanya pada sesi tontonan eksklusif ‘BoBoiBoy The Movie’ di sini, kelmarin.

Perodua yang menjadi penaja rasmi filem animasi itu bekerjasama dengan Animonsta Studios Sdn Bhd (pencipta dan pemaju kandungan kartun) untuk menyebarkan nilai baik khusus bagi kanak-kanak.

Beliau berkata, kerjasama itu selari dengan Tonggak Tanggungjawab Korporat Perodua di mana ia termasuk memperkasakan golongan muda melalui pendidikan, keselamatan, sifat menderma dan lain-lain.

“Sebagai sebahagian daripada program tajaan, kami meminjamkan empat unit Alza kepada Animonsta untuk aktiviti promosi dalam tempoh enam bulan (bersama dengan kos penyelenggaraan kenderaan) dan sebagai balasan, Animonsta akan menggunakan kenderaan itu untuk semua aktiviti promosi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:03 AM