Kelihatan jerebu tebal dengan penglihatan yang tidak jelas di Glenmarie, Shah Alam  tengah hari tadi. FOTO Aizuddin Saad
Kelihatan jerebu tebal dengan penglihatan yang tidak jelas di Glenmarie, Shah Alam tengah hari tadi. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan membuat persiapan mencukupi bagi menghadapi sebarang peningkatan kes penyakit akibat jerebu yang dijangka berterusan dalam tempoh sebulan lagi.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, persediaan dari segi ubat-ubatan dan topeng muka percuma serta perkhidmatan di hospital dan klinik di seluruh negara adalah mencukupi.

"Tidak perlu bimbang. Setakat ini juga tidak terdapat peningkatan membimbangkan penyakit berkaitan jerebu daripada pemantauan yang kita lakukan di hospital dan klinik di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2015 di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Agensi Pengurusan Bencara Negara (BPNP) Indonesia, Willem Rampangile dilaporkan sebagai berkata, masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran ladang dan hutan di Indonesia, dijangka berakhir dalam tempoh sebulan lagi apabila negara jiran itu mula mengalami musim hujan.

Willem dipetik sebagai berkata, dengan peralihan cuaca itu, ia sekali gus memadamkan api dalam tanah gambut dan menghilangkan jerebu yang turut melanda Malaysia dan Singapura sejak dua bulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata setakat ini tidak terdapat sebarang laporan kes Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) terhadap jemaah haji yang pulang ke tanah air.

Katanya, pasukan khas diletakkan di lapangan terbang terbabit untuk melakukan pemeriksaan terhadap jemaah haji yang pulang ke Malaysia sejak penerbangan pertama tiba pada 29 Sept lalu.

"Pasukan pemeriksaan kita bersedia memeriksa jemaah yang pulang sekirnaya mempunyai sindrom berkaitan seperti batuk di setiap penerbangan. Setakat ini tiada sebarang kes dilaporkan," katanya.

Semalam, sebanyak 14 daripada 287 kumpulan pertama jemaah haji Thailand yang pulang dan tiba di negara itu dikuarantin kerana disyaki dijangkiti MERS.

Mereka dikuarantin di Hospital Narathiwat Rachanakarin untuk pemantauan.

Sementara itu, Hilmi berkata Minggu Kesedaran Pendermaan Organ tahun ini diadakan di 76 lokasi seluruh negara mulai hari ini dengan menyasarkan 6,000 pengikrar derma organ baharu.

Menurutnya sejak kempen derma organ secara turun padang dilakukan terdapat peningkatan bilangan pengikrar penderma organ.

"Sehingga Ogos tahun ini terdapat 308,299 rakyat Malaysia yang berikrar menderma organ selepas kematian atau mewakili 1.1 peratus keseluruhan rakyat Malaysia.

"Jumlah ini masih sangat rendah dan kita akan berusaha memastikan ia terus meningkat dengan kempen kesedaran yang kita lakukan," katanya.

Katanya, sehingga tempoh yang sama tahun ini terdapat 19,507 rakyat Malaysia sedang menunggu organ dan kebanyakannya adalah pesakit buah pinggang. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 4:22 PM