SPIETH ceria bersama trofi  Kejohanan Jelajah dan Piala FedEx.
SPIETH ceria bersama trofi Kejohanan Jelajah dan Piala FedEx.

Atlanta, AS: Jordan Spieth melengkapkan musim epik apabila memenangi Kejohanan Jelajah sekali gus membantunya kembali merampas kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia dan mengumpul lebih AS$22 juta (RM97 juta) tahun ini.

Pemain Texas berusia 22 tahun itu yang menang lima kejuaraan musim ini termasuk Masters AS dan Terbuka AS, mencatat 69 pada pusingan akhir untuk mengumpul 271 dan menang empat pukulan di depan pemain Sweden, Henrik Stenson, Danny Lee dari New Zealand dan Justin Rose dari England.

Dengan kemenangan itu, selain Jason Day berakhir di tangga ke-10, Spieth berjaya merampas kembali status pemain nombor satu daripada pemain Australia itu yang hanya bertahan seminggu.

Dia juga mencatat rekod Jelajah PGA AS bagi kutipan hadiah, kemenangan pada Kejohanan Jelajah dengan hadiah AS$1.485 juta (RM6.5 juta) membantunya mengumpul AS$12.03 juta (RM53.2 juta), tidak termasuk bonus AS$10 juta (RM44.2 juta) sebagai pemenang playoff Piala FedEx.

“Tahun ini amat luar biasa,” kata Spieth yang turut berkongsi tangga keempat pada Terbuka British dan naib juara di belakang Day pada Kejohanan PGA AS.

“Saya tidak tahu bagaimana kami boleh duduk berbincang memikirkan jalan untuk meningkat tapi kami akan cuba melakukannya.”

Spieth turut memenangi Kejohanan Valspar dan Klasik John Deere. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:53 AM