Edison, AS: Juara baru Kejohanan PGA AS, Jason Day menganggap kejohanan playoff Piala FedEx peluang buatnya mencabar pemain nombor satu dunia Jordan Spieth bagi undian anugerah Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA.

Day kembali bertanding pada kejohanan The Barclays minggu ini di Plainfield Country Club selepas kemenangan tiga pukulan ke atas Spieth di Whistling Straits di Wisconsin.

Pemain Australia berusia 27 tahun itu bercadang beraksi pada semua empat acara Piala FedEx dan berharap sekalipun Spieth meraih dua kejuaraan utama dan dua kejuaraan Jelajah PGA musim ini, kemenangannya pada Piala FedEx mampu meningkatkan peluangnya dinobat Pemain Terbaik Tahunan.

“Empat minggu berikutnya bermula minggu ini di New Jersey amat penting dan jika boleh menang Piala FedEx ia pasti kemuncak musim saya,” kata Day semalam.

“Jika saya boleh menang trofi Piala FedEx selepas kemenangan pada Kejohanan PGA, saya mungkin boleh dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan.”

Spieth mendahului senarai Piala FedEx dengan Day di tangga kedua, 1,710 mata di belakang pemain muda Amerika itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 8:49 AM