Agensi

London: Pertahanan Southampton, Nathaniel Clyne selesai menjalani pemeriksaan perubatan di Merseyside semalam sebelum berpindah dengan harga £12.5 juta (RM74 juta) ke Liverpool.

Pertahanan England berusia 24 tahun itu kembali daripada percutiannya dan berada di Liverpool bagi melengkapkan peringkat terakhir perpindahannya.

Jika semuanya berjalan lancar Clyne dijangka diumumkan sebagai pembelian keenam kelab itu pada musim panas ini esok, apabila jendela perpindahan dibuka secara rasmi.

Urusan masih dilakukan untuk melengkapkan perjanjian bersama pemain kebangsaan Brazil, Roberto Firmino ketika pembabitannya pada Copa America berakhir dengan kekalahan kepada Paraguay, kelmarin.

Namun esok kelab itu akan mengesahkan kehadiran pemain tengah Manchester City, James Milner, penyerang Burnley, Danny Ings, penjaga gol Bolton, Adam Bogdan dan mungkin Clyne.

Liverpool mencapai kata sepakat dengan Saints minggu lalu dan semuanya boleh disempurnakan berikutan kembalinya Clyne daripada percutian.

Bos Brendan Rodgers mengenal pasti Clyne sebagai pengganti tepat kepada Glen Johnson, yang meninggalkan kelab itu sebagai ejen bebas.

Tawaran asal Liverpool £10 juta (RM59 juta) ditolak Mei lalu namun mereka kembali dengan bidaan lebih tinggi dan Saints bersetuju dengan harga baru itu.

Clyne berada di tahun terakhir kontrak semasanya dan ketika dia teruja berpindah ke Anfield, jelas dia tidak mahu lagi menandatangani kontrak sambungan di St Mary’s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 8:04 AM