Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Douglas Taong menunjukan senapang angin yang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera di hidung. - Foto oleh CLEO WILL
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Douglas Taong menunjukan senapang angin yang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera di hidung. - Foto oleh CLEO WILL
Oleh Cleo Will


Keningau: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera parah di hidungnya akibat terkena peluru senapang angin buat sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Fontas, Nabawan, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, mangsa dilaporkan stabil dirawat di Hospital Keningau, di sini.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Douglas Taong berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, rakan mangsa yang juga berusia 11 tahun bermain senjata milik bapanya dan secara tidak sengaja tertekan picu menyebabkan tembakan terkena mangsa.

"Mangsa yang cedera dikejarkan ke Klinik Nabawan untuk rawatan.

“Polis menahan kanak-kanak yang melepaskan tembakan itu dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala bapanya yang berusia 45 tahun direman lima hari untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, polis turut merampas senapang angin berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 6:35 PM