GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Keningau: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki memukul pengawal keselamatan di ladang sawit di Nabawan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 25 hingga 47 tahun ditahan selepas menyerah diri di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di ladang berkenaan didatangi sekumpulan individu dikenali lalu yang bertindak menakut-nakutkan mangsa.

Katanya, telefon mangsa turut dibuang ke kawasan semak dan menumbuknya hingga cedera di bahagian muka, lengan dan perut.

"Berdasarkan siasatan awal punca kejadian berlaku kerana rasa tidak puas hati di antara kedua-dua pihak terhadap pihak syarikat ladang berkenaan menyekat laluan tikus untuk kenderaan orang kampung daripada masuk ke kawasan ladang berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/447/379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 8:47 AM