Mayat dipercayai jatuh lombong sebelum ditemui di kawasan tadahan banjir. FOTO ihsan PDRM
Mayat dipercayai jatuh lombong sebelum ditemui di kawasan tadahan banjir. FOTO ihsan PDRM
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas berusia 75 tahun ditemui lemas di kawasan tadahan banjir Taman Wahyu, Selayang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.10 malam itu, mangsa dipercayai terjatuh di lombong yang terletak berhampiran kawasan tadahan banjir itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Taman Beringin sering ke lombong terbabit seorang diri.

"Mayat mangsa dicam oleh anak lelakinya yang berada di tempat kejadian, pemeriksaan ke atas badan mangsa tidak menjumpai apa-apa kecederaan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 12:51 AM