Oleh Harun Yahya


Sibu: Dua penerbangan AirAsia, masing-masing dari Kuching dan Kuala Lumpur yang sepatutnya mendarat di Lapangan terbang Sibu terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Bintulu berikutan kabus dan jarak penglihatan yang terhad, pagi tadi.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu Zainuddin Abu Nasir berkata, pendaratan pesawat ke Lapangan Terbang Sibu di sini, terjejas sejak pagi tadi menyebabkan penerbangan terpaksa dilencongkan atas faktor keselamatan.

"Selepas kedua-dua pesawat AirAsia dari Kuching dan Kuala Lumpur itu mendarat di Lapangan Terbang Bintulu, ia kemudian dibenarkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Sibu sejurus keadaan mengizinkan dan selamat mendarat kira-kira 9.50 pagi tadi.

"Sebuah pesawat ATR72 milik MASWings dari Kota Kinabalu juga terpaksa berlegar di udara selama 30 minit sebelum mendarat," katanya.

Difahamkan, kabus tebal menyebabkan operasi penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Sibu turut mengalami kelewatan, begitu juga di beberapa lapangan terbang lain di Sarawak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Sarawak memaklumkan kejadian dikenal pasti berpunca akibat kabus tebal dengan jarak penglihatan cuma 2,000 meter di lokasi kejadian dan bukannya disebabkan masalah jerebu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 1:56 PM