KEADAAN jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Mohd Radzi Bujang.
KEADAAN jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Mohd Radzi Bujang.
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Dua penerbangan dibatalkan manakala enam penerbangan lagi mengalami kelewatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) berikutan penglihatan yang terhad sekitar 1,000 meter disebabkan jerebu, pagi ini.

Pengurus Kanan LTAK, Mohd Nadzim Hashim berkata, dua penerbangan dibatalkan membabitkan pelepasan dan ketibaan, Kuching-Tanjung Manis.

Menurutnya, enam penerbangan mengalami kelewatan, masing-masing tiga pelepasan dan tiga ketibaan.

"Dua sektor terbabit ialah Kuala Lumpur/Kuching/Kuala Lumpur dan satu sektor Pulau Pinang/Kuching/Pulau Pinang.

"Semua penerbangan yang terjejas membabitkan 861 penumpang yang dijadualkan menaiki pesawat AirAsia dan Malindo," katanya.

Semua penumpang yang menggunakan LTAK dinasihatkan menyemak jadual penerbangan masing-masing.

Setakat 10 pagi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Samarahan dan Kuching 207, Sri Aman (129), Kapit (135) manakala Sarikei dan Sibu, masing-masing catat 111.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 11:51 AM