RUANG makan tampil eksklusif apabila kena dengan gayanya.
RUANG makan tampil eksklusif apabila kena dengan gayanya.
BAGI tingkap kecil, kreativiti pilihan langsir labuh juga digalakkan.
BAGI tingkap kecil, kreativiti pilihan langsir labuh juga digalakkan.
JENIS pintu atau tingkap turut mempengaruhi keadaan langsir.
JENIS pintu atau tingkap turut mempengaruhi keadaan langsir.
KINI terdapat pelbagai jenis rod dan kemasan bahagian atas langsir.
KINI terdapat pelbagai jenis rod dan kemasan bahagian atas langsir.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Sering berlaku ruang yang luas kelihatan sempit sementara ruang sempit bertambah padat dengan perhiasan hingga mencacatkan penampilan dan suasana menjadi kurang menarik.

Kesilapan memilih langsir sesuai antara yang kerap berlaku bukan saja membuatkan konsep dekorasi diketengahkan tidak sempurna malah menyebabkan anda terpaksa mengeluarkan belanja mendapatkan langsir selari gaya.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Elyza’s Home (M) Sdn Bhd Elyza Yong, panduan berikut membantu kerana pilihan berdasarkan kesesuaian atau tema kediaman amat penting selain warna cat yang digunakan.

“Jika warna kediaman berlatarkan rona bumi iaitu coklat, kelabu atau krim, langsir yang dipilih mestilah memiliki warna seakan-akan atau serupa.

“Serikan motif atau corak flora atau geometri untuk mewujudkan keseimbangan pada ruang yang sekata.

“Bagaimanapun, jika gemar langsir polos atau tidak mempunyai corak, seharusnya anda pandai bermain dengan tona warna supaya ia memperlihatkan kombinasi menarik bagi mengelak ruang atau bilik kelihatan suram,” katanya.

Seterusnya anda perlu memilih sama ada langsir daripada fabrik jarang atau tebal kerana sesetengah bilik atau ruang perlu tampil dengan pencahayaan terkawal.

Ruang yang gelap disebabkan binaannya terlindung atau terhadang dan kurang tingkap, penggunaan fabrik langsir sedikit jarang perlu dipertimbangkan.

Ia penting supaya dapat berfungsi sebagai pelindung, bukan untuk ‘menggelapkan’ ruang atau bilik itu.

“Sebaliknya jika pintu gelongsor utama terletak berhadapan cahaya matahari yang terang dan menghasilkan silau, fabrik langsir tebal perlu menjadi pilihan.

“Anda juga perlu mengenal pasti ukuran jika membuat keputusan membeli langsir siap jahit atau mengupah tukang jahit.

“Formula paten langsir ialah ukuran tingkap atau pintu dan lebar kain. Ia tiga perkara yang wajib diketahui sebelum membeli material berkaitan langsir yang mahu dijahit,” katanya.

Pastikan ukuran yang diambil sepadan dengan keperluan tingkap atau pintu rumah anda bagi mengelak kesilapan apabila ia dipasang atau digantung kelak. Ini termasuk kain tidak memenuhi ukuran rod, singkat dan terlalu labuh.

Lebih malang jika terpaksa membuka dan membuang lebihan kain padahal kes sebegitu jika tahu formula paten langsir pastinya ia dapat dielakkan.

Antara contoh kesilapan sering berlaku ialah anda inginkan langsir jenis eyelet tapi tiada anggaran tepat sehingga berlaku masalah ketika membuat lubang ring eyelet. Langsir dan ring pula tidak selari.

Apatah lagi dalam ruang tertentu ada beberapa tingkap dan antara satu tingkap dengan satu tingkap tiada ukuran tepat.

Keadaan itu boleh membuatkan anda keliru hingga mengganggu kelancaran menyiapkan langsir.

“Selain itu, anda tidak seharusnya memandang remeh pemilihan rod langsir dan bagi yang keliru atau sebagai langkah selamat, dapatkan rod lebih panjang.

“Ini kerana rod dalam ukuran sekitar 20 hingga 35 sentimeter memberikan ilusi seolah-olah saiz tingkap atau pintu rumah anda lebih panjang atau lebar,” katanya.

Pilihan rod langsir panjang juga membolehkan anda menolak langsir kedua-dua belah sisi jendela dan tidak menghalang atau menutup panel tingkap yang boleh mengganggu pandangan.

Mendapat langsir lebih panjang atau labuh antara panduan membantu anda mengelak berlakunya kesilapan.

Ini sekali gus membolehkan anda memberi nilai tambah kepada dinding terutama ruang yang luas walaupun sesetengah tingkap kediaman anda bukanlah jenis memanjang.

“Padankan fabrik dan kertas dinding bagi mengatasi pemandangan kurang menarik di sesuatu ruang selain menonjolkan seri tingkap.

“Ada baiknya jika pilihan langsir bersesuaian perabot dan hiasan dalaman rumah, jika tidak sama corak dan warna sekali pun sekurang-kurangnya mewujudkan keseimbangan yang menarik,” katanya.

Layari http://www.elyza.com/ atau Facebook ElyzasHome untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:21 AM