SESUAI untuk ruang ringkas.
SESUAI untuk ruang ringkas.

Saya meminati langsir eyelet sebagai penghias ruang di kediaman. Apakah kesesuaiannya supaya langsir itu kelihatan menarik?

Haslinah Izzar Denin

Eyelet atau lelubang adalah sebahagian daripada gaya langsir moden yang menjadi pilihan sejak kebelakangan ini.

Teknik jahitan ringkas, cepat dan kemas membuatkan ia menjadi tarikan kerana lebih menepati ciri-ciri praktikal.

Jahitan eyelet menggunakan gelung cincin dipasangkan pada lubang bentuk bulat ditebuk pada pita di bahagian atas langsir.

Langsir ini boleh menggabungkan dua rona langsir bagi yang gemar kelainan. Kombinasi langsir siang jenis fabrik yang sesuai termasuk kapas dan sheer (nipis) antara yang menambahkan seri.

Malah, konsep moden dan kontemporari tampil dengan kombinasi bijak dan bergaya selari dengan cita rasa masa kini.

Situasi itu banyak membezakan konsep ini dengan minimalis kerana lebih tertumpu pada penggunaan warna dan motif.

Padanan warna kontras dan berani, penggunaan motif moden dan kesan tekstur menakjubkan untuk ruang pilihan.

Ia kelihatan unik melambangkan keperibadian dan karakter pemilik atau penghuni kediaman itu.

Malah, langsir eyelet menjadi pilihan utama sebagai pelengkap konsep dekorasi moden dan kontemporari untuk kediaman jenis kondominium.

Ia amat sesuai untuk menyerikan penataan pintu gelongsor dengan gaya lebih kemas apabila dipadankan bersama fabrik yang sederhana atau tebal.

Penggunaan fabrik jenis ringan dan aksesori ringkas pada langsir lebih mendatangkan keselesaan serta menyuntik suasana berbeza di ruang kediaman.

Kemasan langsir eyelet yang tidak terlalu sarat dengan corak atau motif menjadi titik fokal jika anda kreatif apabila disuai padan dengan perabot atau aksesori hiasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:00 AM